HomeUncategorizedACO-PCCGC 2026 Satukan Gerakan Koperasi ASEAN, Perkasa Dana Pendidikan

ACO-PCCGC 2026 Satukan Gerakan Koperasi ASEAN, Perkasa Dana Pendidikan

Kejohanan ASEAN Co-operative Organization President Cup Charity Golf Championship 2026 (ACO-PCCGC 2026) bukan sekadar medan pertandingan golf, sebaliknya menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemimpin gerakan koperasi ASEAN, pemain industri dan rakan strategik bagi memperkukuh kerjasama serantau serta menjana dana pendidikan untuk pembangunan modal insan.

Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Tuan Zailani Siran, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu membuktikan sukan bukan sekadar medan persaingan dan kecergasan, malah menjadi platform berkesan untuk menyatukan masyarakat, memperkukuh jaringan kerjasama serta menyemai nilai perpaduan, integriti dan semangat kesukanan.

Beliau yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kejohanan tersebut turut membawa misi amal menerusi kutipan dana bagi Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA yang akan membantu menyediakan peluang pendidikan dan sokongan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya anak-anak anggota koperasi serta golongan yang memerlukan.

“Pendidikan merupakan pelaburan penting dalam membangunkan modal insan negara. Inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan ANGKASA dengan kerjasama ACO ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan generasi muda mendapat peluang untuk meneruskan pengajian, meningkatkan kemahiran serta membina masa depan yang lebih baik.

“Saya percaya setiap penyertaan, sokongan dan sumbangan yang diberikan melalui kejohanan ini akan memberi impak besar dalam membantu pelajar mencapai aspirasi pendidikan mereka serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu ditemubual pemberita Pelancar memberitahu, penganjuran ACO-PCCGC 2026 merupakan platform sukan amal bertaraf antarabangsa yang menggabungkan elemen kesukanan, kebajikan dan pembangunan modal insan.

Menurut beliau, dana yang dikumpulkan sepanjang kejohanan akan disalurkan bagi menyokong pendidikan warga koperasi, melatih belia dan membantu keluarga anggota koperasi yang memerlukan.

ACO-PCCGC 2026 merupakan kesinambungan Kejohanan Golf Amal Piala Presiden yang dianjurkan Yayasan ANGKASA sebelum ini dan mendapat sokongan pelbagai penaja termasuk Optimax Eye Specialist Centre sebagai Penaja Platinum, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) sebagai Penaja Emas serta Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KTNB) dan ANGKASA sebagai Penaja Perak.

Kejohanan hari itu berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM135,000 yang akan disalurkan terus kepada Yayasan ANGKASA.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Haji Efendee O. P. Andu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA termasuk Datuk Haji Md Yusof bin Samsudin, Haji Nasir Khan bin Yahaya, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad dan Dato’ Haji Zazali Haron, barisan Anggota Lembaga ANGKASA Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi IMT-GT Joint Business Council (IMT-GT JBC), YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Ab. Hadi, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman dan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine