Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah menyempurnakan majlis SI International Group Berhad Grand Corporate Launch 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 10 Julai 2026.
Beliau hadir mewakili Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Norihan (B) yang tidak dapat menghadiri majlis atas urusan rasmi.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, pelancaran korporat SI International Group Berhad hadir pada waktu yang tepat ketika gerakan koperasi negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Sehingga 31 Disember 2025, Malaysia mempunyai 16,468 koperasi berdaftar dengan lebih 7.3 juta anggota serta merekodkan perolehan tahunan sebanyak RM81.62 bilion.
Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi kerajaan untuk menjadikan sektor koperasi sebagai industri bernilai RM100 bilion menjelang 2030 memerlukan kerjasama strategik yang kukuh antara agensi kerajaan, koperasi dan sektor korporat.
Menurut beliau, penglibatan SI International Group Berhad bersama gerakan koperasi membuka ruang kerjasama dalam pelbagai sektor berpotensi termasuk pelaburan, kewangan, pendigitalan, tenaga boleh baharu, industri halal, logistik, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
“Kita mengalu-alukan hasrat SI International Group Berhad untuk bekerjasama dengan gerakan koperasi Malaysia. Melalui kolaborasi strategik antara sektor korporat dan koperasi, kita mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkukuh daya tahan negara serta mewujudkan kemakmuran yang mampan untuk rakyat,” kata Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Beliau berharap semangat kerjasama yang diibaratkan melalui peribahasa “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan erat antara sektor korporat dan gerakan koperasi demi kemajuan ekonomi negara.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan SI International Group Berhad, Kenny Lai, Penasihat Korporat SI International Group Berhad, Dato’ Seri Rosman Mohamed, Presiden, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MIZOU Holdings Sdn. Bhd., Datuk Wira Haji Shamshuri Abdul Majid, Pengasas MIZOU Holdings Sdn. Bhd., Datin Wira Hartini Haji Hassan @ Misdar, Pengarah SI International Group Berhad, Yasni Mohamad Yusof, Pegawai Pematuhan Aureus Strategies PE Sdn. Bhd., Ko Hsiao Ping dan Pengerusi Eksekutif Impianan Utara Group, Dato’ Ar. Haji Syed Tajul Arif Syed Baharoon Al Jumlud.



















