Tahniah kepada Jawatankuasa Rundingan Bersama (CA) yang dipengerusikan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran, ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan bersama kepimpinan Kesatuan Kakitangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (KESUKA), yang telah berjaya menyelesaikan rundingan Perjanjian Bersama pada 19 Februari 2026.
Rundingan tersebut untuk Perjanjian Bersama ANGKASA – KESUKA dalam tempoh lima tahun iaitu 2026 hingga 2030.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama ANGKASA – KESUKA di Auditorium, Wisma Ungku A. Aiz, Kelana Jaya pada 7 Julai 2026.
Kejayaan itu membuktikan kematangan budaya kerja dan hubungan perusahaan yang telah terbina di ANGKASA. Beliau percaya, setiap keputusan yang dicapai lahir daripada proses perbincangan yang teliti dan semangat saling menghormati serta kesediaan kedua-dua pihak untuk mendengar, memahami dan mencari titik persamaan demi kepentingan organisasi dan seluruh warga kerja.
“Semangat tersebut perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas ANGKASA untuk menjadi majikan yang progresif, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kebajikan warganya.” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan terhadap pelbagai penambahbaikan yang diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan warga kerja, di samping memastikan kelestarian dan keupayaan ANGKASA untuk terus berkembang pada masa hadapan.
Justeru, beliau menyeru seluruh warga ANGKASA agar menjadikan Perjanjian Bersama ini sebagai titik permulaan kepada satu tekad yang baharu bagi memperkukuh budaya kerja yang berteraskan integriti, semangat sepasukan dan kecemerlangan dalam setiap tindakan.
“Setiap amanah yang dipikul di ANGKASA membawa makna yang jauh lebih besar daripada skop tugas harian dan setiap usaha yang dicurahkan, tersimpan harapan bukan hanya jutaan anggota koperasi di seluruh negara malah harapan dan kepercayaan ahli keluarga. “ ujarnya mengakhiri ucapan.
Hasil rundingan telah dibentangkan dan mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Lembaga ANGKASA (Pengurusan dan Pembangunan) Bil. 9/2026 pada 21 Mei 2026.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Haji Abdullah Haji Jusoh yang mengetuai barisan pengurusan kanan ANGKASA.










