HomeAKTIVITIKoperasi Sekolah Bantu Pacu Sasaran Perolehan RM100 Billion Gerakan Koperasi

Koperasi Sekolah Bantu Pacu Sasaran Perolehan RM100 Billion Gerakan Koperasi

Gerakan koperasi sekolah dilihat sebagai antara pemacu penting dalam usaha mencapai sasaran perolehan gerakan koperasi melebihi RM100 bilion menjelang tahun 2030 melalui penyertaan 1,000 kedai runcit koperasi, termasuk koperasi sekolah yang layak, dalam Program Barangan Asas 100 (BA100) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penyertaan tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara ANGKASA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang akan memperluaskan peranan koperasi sekolah sebagai pusat perkhidmatan kepada komuniti, di samping merangsang pertumbuhan perniagaan koperasi.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta dan Pelancaran Hari Koperasi Sekolah di SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang, Selangor pada 6 Julai 2026.

Menurut beliau, inisiatif tersebut membolehkan ibu bapa dan komuniti setempat mendapatkan barangan keperluan asas menggunakan MyKad di kedai koperasi sekolah terpilih, sekali gus memudahkan akses kepada keperluan harian melalui rangkaian koperasi.

“Saya melihat ini sebagai satu peluang yang amat besar kepada koperasi sekolah. Selain membantu meringankan kos sara hidup masyarakat, ini turut membuka ruang kepada koperasi meningkatkan hasil perniagaan, memperkukuh aliran tunai dan mewujudkan model perniagaan yang lebih mampan.

“Malah, inisiatif ini dijangka memberi peluang kepada lebih banyak koperasi sekolah mencapai perolehan tahunan melebihi RM1 juta, sekali gus membuktikan bahawa koperasi sekolah juga mampu menjadi organisasi perniagaan yang berdaya maju apabila diurus secara profesional dan berstrategi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Koperasi SMK Bandar Baru Sungai Long Selangor Berhad merangkap Pengetua sekolah, Puan Juraiza Ab. Jamil berkata, koperasi sekolah itu berjaya mencapai sasaran jualan RM1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Menurut beliau, prestasi tersebut terus dipertingkatkan apabila koperasi berkenaan merekodkan jualan sebanyak RM1.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, meningkat sebanyak RM176,096.64 berbanding RM1.18 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian itu didorong oleh kepelbagaian aktiviti perniagaan yang dijalankan menerusi tiga premis utama di sekolah, iaitu CoopMart, Kedai Buku Al-Ahza dan Calathea Cafe.

Beliau berkata, koperasi itu turut mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada warga sekolah dan komuniti, termasuk sebagai ejen pelancongan, ejen insurans, pembaharuan cukai jalan kenderaan serta kemudahan pembelian barangan secara ansuran.

Koperasi itu juga melanggan barangan di bawah BA100 sebagai sokongan terhadap usaha ANGKASA memperkukuh rangkaian peruncitan koperasi di seluruh negara.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat, Sektor Pembangunan Murid di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Haji Khairul Anuar Abdul Azid, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Encik Mohd Fadzli Abu Bakar.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine