Koperasi Permodalan Melayu Kuala Muda / Sik Kedah Berhad (KEMUDIK) berazam untuk meningkatkan lagi kapasiti tanaman kelapa menerusi pembukaan lebih banyak ladang baharu dengan sokongan dan bantuan daripada ANGKASA.
Hasrat tersebut disampaikan sendiri oleh Pengerusi KEMUDIK iaitu Mejar Wan Norshahid Zainol kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu lawatan singkat Presiden ANGKASA ke ladang kelapa milik koperasi tersebut bertempat di Sik, Kedah pada 12 Julai 2026.
Turut mengiringi lawatan Presiden ialah barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kedah yang diketuai Pengerusinya, Tuan Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh.
Ladang yang berkeluasan 12 hektar itu kini dipenuhi sejumlah 3,000 pokok kelapa daripada varieti Gadung CN26 dan CN28 yang dibekalkan secara eksklusif oleh Pewaris Bumi Hijau (M) Sdn. Bhd.
Pemilihan varieti tersebut adalah disebabkan oleh kualiti buahnya yang lebih baik di samping pokok tidak terlalu tinggi sekali gus memudahkan proses memetik buah serta penjagaan.
Semua pokok tersebut kini sudah berusia sekitar dua tahun tujuh bulan dan dijangka akan mula mengeluarkan hasil sulung setelah mencapai usia tiga tahun ke atas.
Mejar Wan Norshahid berkata, permintaan pasaran yang sangat tinggi terhadap produk hasilan kelapa khususnya santan selain kebergantungan terhadap produk santan import telah mendorong koperasi untuk memperkasakan pengeluaran kelapa melalui pembukaan lebih banyak ladang baharu.
Selain itu, koperasi juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk santan jenama sendiri menerusi pengilangan tempatan.
Justeru, beliau berhasrat untuk mengadakan satu kerjasama strategik dengan ANGKASA bagi merealisasikan misi untuk menjadikan gerakan koperasi Malaysia sebagai pengeluar santan yang dominan di pasaran.













