HomeANTARABANGSAANGKASA Terima Kunjungan Sulung Ketua Pengarah ICA

ANGKASA Terima Kunjungan Sulung Ketua Pengarah ICA

Ketua Pengarah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Mr. Jeroen Douglas mengadakan kunjungan sulung ke ANGKASA di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 23 November 2026. Beliau turut disertai Ahli Lembaga ICA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif National Cooperative Business Association CLUSA International, Mr. Doug O’Brien.

Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan serta membincangkan peluang perkongsian strategik dalam pembangunan gerakan koperasi di peringkat antarabangsa.

Ketibaan kedua-dua pemimpin koperasi itu disambut oleh kepimpinan ANGKASA yang diketuai Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Dalam sesi taklimat, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkongsi tentang struktur dan ekosistem gerakan koperasi di Malaysia yang disokong oleh tiga badan utama, iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia dan ANGKASA.
Beliau turut menjelaskan bahawa ANGKASA merupakan badan apeks tunggal yang mewakili lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi tujuh juta individu di seluruh negara.

Beliau turut menyentuh penyertaan ANGKASA dalam ICA sejak tahun 1972. Sejak itu, ANGKASA terus memainkan peranan aktif dalam jaringan koperasi antarabangsa menerusi penglibatan dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat ICA dan ICA-AP.

Mr. Jeroen merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas kesudian menerima kunjungan beliau. Beliau menyifatkan peluang berinteraksi dengan gerakan koperasi di negara berbeza sebagai pengalaman penting untuk memahami kepelbagaian budaya serta pendekatan pembangunan koperasi.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap hala tuju ICA yang disokong oleh visi dan misi jelas barisan kepimpinannya dalam memacu pertumbuhan serta kelestarian organisasi. Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh peranan koperasi dalam memberikan manfaat kepada pengguna, di samping membincangkan hala tuju dan fokus strategik ICA bersama kepimpinan ANGKASA.

Mr. Doug pula berkongsi pandangan mengenai perkembangan gerakan koperasi serta kepentingan kerjasama dan perkongsian pengalaman di peringkat antarabangsa.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Anuar Bulin serta Pengurus Besar Bahagian Korporat dan Antarabangsa ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim.

Pada sebelah petang, Mr. Jeroen dan Mr. Doug meneruskan kunjungan ke Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad di Bandar Sri Damansara. Sebagai anggota baharu ICA dan antara koperasi bertaraf Premier di Malaysia, Koop Sahabat memainkan peranan dalam memperkasakan sosioekonomi anggota menerusi pelbagai cabang perniagaan dan pelaburan, termasuk perkhidmatan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) serta sektor hartanah.

Kunjungan tersebut turut disertai Bendahari Koop Sahabat, Norsharizal Mashahrin, barisan Ahli Lembaga Koop Sahabat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Haji Mazri Mahmood. Kedua-dua pemimpin ICA tersebut kemudiannya mengadakan perbincangan ringkas bersama pihak pengurusan Koop Sahabat sebelum dibawa meninjau operasi Sahabat Ar-Rahnu, salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh koperasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine