Susulan sambutan positif terhadap Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi (ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism), Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) mencadangkan agar program berkenaan diteruskan sebagai siri program serantau pada 2027.
Program yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai 2026 di Raub dan Jerantut, Pahang itu menghimpunkan 23 peserta mewakili 14 organisasi dari tujuh negara.
Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai model pelancongan koperasi, di samping membina jaringan pembelajaran dan perniagaan serantau yang lebih kukuh.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan perkembangan terkini jawatankuasa tersebut dalam Mesyuarat Semua Jawatankuasa ICA-AP yang dipengerusikan Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav secara dalam talian pada 18 Ogos 2026. Hadir sama ialah Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian Iyer.
Tambah beliau, Program Imersi Serantau itu turut membuktikan kekuatan kerjasama dalam kalangan jawatankuasa ICA-AP apabila Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP bersama Jawatankuasa Koperasi dalam Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI) berganding bahu merangka dan melaksanakan program yang menggabungkan pembelajaran dengan pembangunan perniagaan.
Sementara itu, bagi baki tahun ini, aktiviti utama jawatankuasa adalah penyertaan dalam Pameran Import Antarabangsa China (CIIE) Ke-9, Pameran Koperasi Antarabangsa dan Program Latihan Pembangunan Keupayaan Perdagangan Digital untuk Koperasi yang akan berlangsung dari 5 hingga 9 November 2026 di Shanghai, China.
Program anjuran All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC) dengan kerjasama Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP tersebut akan memberi peluang kepada anggota mempamerkan produk, memperkukuh jaringan perniagaan serta meneroka peluang pasaran di China.
Dalam mesyuarat yang sama, Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Alam Sekitar ICA-AP, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik turut membentangkan perkembangan terkini jawatankuasa berkenaan.






