HomeAGENSIPerdana Menteri: Belanjawan 2027 Mesti Sambut Suara rakyat, Tingkat Kesejahteraan Negara

Perdana Menteri: Belanjawan 2027 Mesti Sambut Suara rakyat, Tingkat Kesejahteraan Negara

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Belanjawan 2027 mesti menyambut suara rakyat dan memenuhi harapan mereka menerusi usaha merancakkan pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau berkata, pendekatan itu penting ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan kesan konflik di Asia Barat yang turut mencetuskan krisis tenaga serta memberi tekanan kepada ekonomi global.

“Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup dek konflik di Asia Barat. Kerajaan MADANI akan utamakan harapan rakyat serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya pada 18 Ogos 2026 yang menjadi mukadimah kepada proses penyediaan Belanjawan MADANI Kelima yang akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026.

Beliau turut menegaskan pandangan daripada segenap lapisan masyarakat perlu didengar supaya kemajuan negara bukan sekadar diterjemahkan melalui angka ekonomi, sebaliknya benar-benar dirasai rakyat di seluruh negara.

Majlis berkenaan menghimpunkan hampir 400 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa bagi mengemukakan pandangan dan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027.

Bertemakan ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat serta Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara. 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 yang diterbitkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan kepada proses libat urus sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.

“Ini termasuk usaha menangani tekanan kos sara hidup; memperkukuh perlindungan sosial; memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas; meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti; serta memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah usaha memperluas perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan daya saing perniagaan menerusi automasi dan kecerdasan buatan (AI), mempercepat peralihan hijau serta kesiapsiagaan pasaran karbon selain memperkukuh daya tahan isi rumah dan keterjaminan makanan.

“Dalam konteks pembangunan komuniti, Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 turut meletakkan Keadilan Sosial dan Pembangunan Untuk Semua sebagai bidang tumpuan dengan penekanan terhadap peluang ekonomi, perkhidmatan awam dan kemudahan asas yang berkualiti secara saksama kepada setiap negeri, wilayah dan komuniti,” ujarnya lagi.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut mengemukakan beberapa cadangan dalam sesi libat urus berkenaan, antaranya agar kerajaan mengiktiraf gerakan koperasi sebagai entiti perniagaan yang setara dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus melayakkan koperasi menerima insentif serta peruntukan yang sama.

Beliau turut mencadangkan supaya sebahagian peruntukan kerajaan untuk gerakan koperasi disalurkan secara terus kepada ANGKASA selaku badan puncak koperasi bagi merangsang dan memperkasa pembangunan perniagaan koperasi.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi membantu kedai-kedai koperasi di luar bandar menaik taraf sistem Point of Sale (POS) supaya dapat menyertai inisiatif sebagai Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA), MyKasih dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), sekali gus meningkatkan perolehan koperasi.

Belanjawan 2027 merupakan Belanjawan MADANI Kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat serta Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.

Siri libat urus akan diteruskan menerusi mesyuarat kumpulan fokus bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat sebelum Kementerian Kewangan melaksanakan siri jelajah Belanjawan 2027 di seluruh negara.

Orang ramai turut dialu-alukan mengemukakan pandangan dan cadangan menerusi Portal Cadangan Belanjawan 2027 sebagai sebahagian usaha kerajaan menjadikan proses penyediaan belanjawan lebih telus, terangkum dan berteraskan penyertaan rakyat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Kewangan, YB Tuan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine