ANGKASA mengukuhkan kerjasama strategik dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA), selain menyalurkan dana endowmen berjumlah RM350,000 kepada universiti berkenaan dalam satu majlis di UUM, Sintok, Kedah pada 23 Ogos 2026.
MoA tersebut ditandatangani Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bagi pihak ANGKASA, manakala UUM diwakili Naib Canselornya, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Inapan Siswa (INASIS) UUM yang sebelum ini dikenali sebagai INASIS Yayasan Albukhary (YAB) dijenamakan semula sebagai INASIS ANGKASA.
Mengulas kerjasama itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, sinergi antara ANGKASA dengan UUM diharap dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan koperasi siswa sebagai platform pembelajaran keusahawanan, ilmu perkoperasian serta pembentukan kepimpinan generasi baharu gerakan koperasi.
Menurut beliau, koperasi di institusi pengajian tinggi tidak seharusnya sekadar diwujudkan, sebaliknya perlu berperanan sebagai wadah untuk melahirkan pemimpin koperasi, membina jati diri berkoperasi serta memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai keusahawanan dan pengurusan koperasi.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan berkenaan perlu diperluas dalam ekosistem pendidikan supaya koperasi siswa menjadi platform yang lebih menarik kepada pelajar, termasuk mereka yang telah mempunyai pengalaman berkoperasi ketika di sekolah.
“Apabila pelajar memasuki universiti selepas tamat sekolah menengah, mereka sepatutnya terus melihat koperasi sebagai satu platform yang menarik untuk pembelajaran, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Martadha merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepercayaan yang diberikan ANGKASA kepada UUM.
Katanya, kerjasama tersebut akan memberikan pelbagai manfaat kepada warga INASIS ANGKASA, selain membantu meningkatkan daya saing mereka dalam aktiviti koperasi.
“Saya telah mencadangkan supaya premis-premis perniagaan di bawah INASIS diuruskan melalui sebuah koperasi yang dipimpin oleh pelajar, sekali gus menjadi contoh bagaimana perniagaan boleh dijayakan menerusi koperasi,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama antara ANGKASA dengan UUM tidak sekadar memberikan nilai dari segi penjenamaan, sebaliknya membawa manfaat nyata khususnya dalam meningkatkan kefahaman dan penglibatan pelajar dalam bidang koperasi.
Turut berlangsung ialah Syarahan Profesor Adjung yang disampaikan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah bertajuk “Memperkasakan Koperasi Siswa Melalui Sinergi Akademia dan Industri”.
Pemeteraian MoA tersebut turut diserikan dengan perlawanan persahabatan sukan petanque dan golf antara ANGKASA dengan UUM sebagai usaha mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kedua-dua organisasi.
Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, Pengerusi JKAN Perlis, Dr. Ammar Hassan, barisan anggota JKAN Kedah dan Perlis, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Bakri.
Turut hadir ialah Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim dan Pengetua INASIS ANGKASA, Mohd Farhan Ismail.









































