ANGKASA Negeri Kedah menyantuni petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR), pada 23 Ogos 2026.
Sumbangan berkenaan melibatkan 40 pek barangan asas untuk diagihkan kepada petugas IPD Pendang sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan komitmen mereka dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan diterima Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Mohd Rosli Yusof yang mewakili Ketua Polis Daerah Pendang.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, sumbangan berkenaan selaras dengan Prinsip Ketujuh Koperasi, iaitu Keprihatinan Terhadap Masyarakat, yang mencerminkan komitmen gerakan koperasi untuk memberi manfaat kepada komuniti.
“Dalam konteks ini, kita ingin menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang banyak berkorban dalam memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara. Ini juga merupakan tanda ukhuwah daripada ANGKASA dan anggota koperasi kepada petugas barisan hadapan,” katanya.
Sementara itu, DSP Mohd Rosli merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ANGKASA Negeri Kedah atas keprihatinan serta sumbangan yang diberikan kepada warga IPD Pendang.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan ANGKASA terhadap kebajikan petugas barisan hadapan, selain menjadi tanda sokongan kepada pihak polis dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan awam.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, barisan Anggota JKAN Kedah, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim.














