ANGKASAMart Pendang terus mengorak langkah memperluas perkhidmatan kepada komuniti menerusi kerjasama dengan Lembaga Zakat Kedah sebagai pembekal bagi Program Food Bank yang dilaksanakan organisasi berkenaan bagi tempoh Julai hingga Disember 2026.
Menerusi kerjasama itu, sebanyak 116 masjid di sekitar Kedah menerima 40 set barangan asas setiap bulan untuk diagihkan kepada golongan asnaf, menjadikan keseluruhan 4,640 set barangan asas disediakan oleh ANGKASAMart Pendang setiap bulan.
Setiap set mengandungi empat barangan asas, iaitu beras, tepung, gula dan minyak masak botol, dengan setiap set diperuntukkan kepada seorang penerima.
Secara keseluruhannya, projek berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM1.2 juta sepanjang tempoh pelaksanaan dan memberi manfaat kepada 4,640 penerima setiap bulan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, memuji inisiatif ANGKASAMart Pendang yang menunjukkan bahawa koperasi bukan sahaja berperanan dalam menjalankan aktiviti perniagaan, malah mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat melalui penyediaan barangan keperluan, peluasan saluran perniagaan dan pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Beliau berkata demikian kepada wakil PELANCAR pada sesi penyerahan jentera pengangkut (forklift) kepada ANGKASAMart Pendang, di sini pada 23 Ogos 2026.
Selain itu, ANGKASAMart Pendang turut memperluas pembekalan air mineral kepada koperasi sekolah, koperasi masjid dan koperasi dewasa sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan perniagaan serta perkhidmatan kepada gerakan koperasi.
Dalam masa sama, ANGKASAMart Pendang turut memanfaatkan platform digital menerusi TikTok Shop dengan memasarkan dan menjual air mineral melalui rakan niaga pemasaran (affiliate) yang dilantik menggunakan ciri “Beg Kuning” TikTok Shop.
Seterusnya, ANGKASAMart Pendang turut melaksanakan siri pertama Program Jualan Rahmah MADANI pada awal Ogos 2026 yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM124,000 dalam tempoh dua hari.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, barisan Anggota JKAN Kedah, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim.



























