HomeAKTIVITIKoperasi Kariah Masjid Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Ummah

Koperasi Kariah Masjid Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Ummah

Koperasi Kariah Masjid (KKM) mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu ekonomi komuniti dan memperkukuh kesejahteraan ummah sekiranya kekuatan institusi masjid diterjemahkan menerusi kerjasama ekonomi yang lebih tersusun.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, peranan masjid tidak seharusnya terhad sebagai pusat ibadah, sebaliknya turut boleh berfungsi sebagai pusat ilmu, pertemuan masyarakat serta platform menggerakkan aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada anggota dan komuniti setempat.

Menurutnya, semangat kebersamaan yang menjadi asas kehidupan berjemaah amat dekat dengan prinsip koperasi yang menggalakkan kerjasama dan sikap saling membantu.

“Semangat kebersamaan ini juga amat dekat dengan peranan KKM. Koperasi boleh menjadi platform untuk menghimpunkan anggota kariah dalam satu usaha yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Melalui koperasi kita dapat menggerakkan potensi ekonomi masjid secara lebih tersusun. Dalam masa yang sama kita dapat membina budaya kerjasama dan saling membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M anjuran Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh dan Masjid Darul Ulum Matang Pagar di Masjid Darul Ulum Matang Pagar Sungai Buloh pada 25 Ogos 2026.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, perkembangan KKM di seluruh negara menunjukkan potensi yang semakin besar, dengan 622 koperasi direkodkan sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, jumlah berkenaan merangkumi 49,684 anggota, selain merekodkan jumlah syer dan yuran sebanyak RM16.85 juta, aset RM43.80 juta serta perolehan RM34.82 juta.

“Angka ini menggambarkan potensi besar yang ada pada institusi masjid apabila semangat berjemaah diterjemahkan dalam bentuk kerjasama ekonomi.

“Koperasi Kariah Masjid boleh membantu memperkukuh ekonomi anggota, membuka peluang perniagaan dan menjana manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya sekadar dizahirkan melalui sambutan atau ungkapan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dan akhlak dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, masyarakat perlu mencontohi Rasulullah SAW dalam menjaga hubungan sesama manusia, membantu golongan memerlukan serta mengelakkan perkara yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, tema “Mahabbah Rasulullah Menyatukan Ummah” amat bertepatan dengan keperluan masyarakat ketika ini yang berdepan pelbagai perbezaan pandangan dan latar belakang.

“Perbezaan merupakan sesuatu yang biasa dalam kehidupan. Namun perbezaan tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita bermusuhan dan berpecah.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan umat terletak pada kesatuan hati. Baginda membina masyarakat Madinah atas asas persaudaraan serta menyatukan manusia melalui iman dan akhlak,” katanya.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyeru masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan komuniti, manakala KKM diperkasakan sebagai salah satu wadah membina kesejahteraan ekonomi ummah.

Menurutnya, budaya saling membantu perlu terus dipupuk dengan golongan berkemampuan membantu mereka yang memerlukan, manakala mereka yang mempunyai ilmu dan peluang pula membuka ruang kepada orang lain.

“Ketepikan perselisihan yang tidak membawa manfaat. Perkukuhkan silaturahim. Perbanyakkan selawat. Hidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan kita.

“Jadikan masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat dan KKM sebagai salah satu wadah untuk memperkukuh kesejahteraan ummah,” ujarnya.

Sementara itu, Nazir Masjid Darul Ulum, Haji Abdullah Ali dalam ucapannya berkata, penganjuran program sebegini adalah perlu untuk menanam rasa kecintaan kepada Rasullullah, khususnya kepada golongan muda yang akan menjadi penerus generasi di masa hadapan.

Nazir Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh, Ustaz Dr. Mohd Irfan Rusdi pula menegaskan bahawa kerjasama antara dua masjid tersebut dalam penganjuran Maulidur Rasul tahun ini adalah perintis kepada lebih banyak kerjasama dengan masjid-masjid lain di masa akan datang.

“Program pada tahun ini meliputi empat pengisian utama iaitu Perarakan Maulidur Rasul, majlis perasmian dan Bicara Santai, Ceramah Perdana, Selawat Dalam Tren Komuter dari KTM Sungai Buloh sehingga KTM Tangjung Malim dan Konvoi Mahabbah yang berlangsung dari 25 Ogos hingga 30 Ogos,” katanya.

Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M anjuran Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh dan Masjid Darul Ulum Matang Pagar mendapat penglibatan 13 kontinjen dengan lebih 500 orang peserta.

Turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada empat orang ahli kariah.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine