Sektor koperasi negara terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi paling penting apabila merekodkan perolehan keseluruhan sebanyak RM82 bilion, melibatkan 16,468 koperasi berdaftar yang memperkasakan 7.33 juta anggota.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu membuktikan gerakan koperasi bukan lagi sektor sampingan, sebaliknya memainkan peranan signifikan dalam pembangunan ekonomi negara.
Menurut beliau, gerakan koperasi kini memiliki aset bernilai RM186.7 bilion, manakala syer dan yuran anggota berjumlah RM18.6 bilion.
“Angka-angka ini membuktikan secara konkrit bahawa gerakan koperasi mampu mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah serta memperkukuhkan kesejahteraan komuniti di bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jom IKMa sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Petaling Jaya pada 27 Ogos 2026.
Tambahnya, sambutan Jubli Platinum IKMa perlu menjadi pelantar untuk institusi itu melahirkan barisan kepimpinan koperasi yang lebih kompetitif dan responsif terhadap perubahan landskap global.
“Sejak ditubuhkan pada 1956, IKMa telah melatih seramai 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan serta bimbingan di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju pendidikan dan latihan koperasi.
Pencapaian itu diteruskan menerusi pelaksanaan 777 program latihan sepanjang 2025, termasuk Program Bimbingan Strategik dan Transformasi Digital (BESTARI), yang memberi tumpuan kepada ilmu dan kemahiran relevan dengan keperluan semasa gerakan koperasi.
Pelan Strategik IKMa 2026–2030 pula dirangka selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030, dengan penekanan terhadap inovasi latihan, pengukuhan integriti, pendigitalan serta peluasan jaringan kerjasama strategik,” jelasnya.



























Ketua Pengarah IKMa, YBhg. Datuk Dr. Mohd Ali Mansor dalam ucapan aluannya berkata, pengalaman tujuh dekad menjadi asas kukuh bagi institusi itu untuk terus menyediakan latihan yang relevan, fleksibel dan berintegriti kepada gerakan koperasi negara.
Menurutnya, IKMa kekal komited menyediakan latihan berorientasikan keperluan masa hadapan bagi memastikan kompetensi dan kepimpinan berintegriti dalam gerakan koperasi terus diperkasakan.
Sambutan Jubli Platinum berkenaan turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik IKMa 2026–2030 yang dirangka bagi memacu fasa baharu transformasi modal insan koperasi dalam mendepani cabaran ekonomi digital, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Sementara itu, Karnival Jom IKMa yang berlangsung selama dua hari turut menjadi platform mendekatkan gerakan koperasi dengan generasi muda menerusi Pertandingan Explorace Koperasi Sekolah Peringkat Negeri Selangor yang menghimpunkan 100 pelajar daripada 25 sekolah menengah.
Karnival berkenaan turut menampilkan 10 gerai jualan membabitkan usahawan koperasi dan agensi KUSKOP, termasuk Program Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Pelbagai aktiviti komuniti dan kesihatan turut dianjurkan termasuk pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, program derma darah serta pertandingan permainan dalaman.
KUSKOP dan IKMa turut menyeru generasi muda menjadikan UKKM sebagai antara destinasi pengajian tinggi pilihan utama bagi membina kerjaya dalam bidang keusahawanan serta melahirkan pemimpin dan usahawan koperasi bertaraf dunia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Haji Onn Abu Bakar, Anggota Lembaga IKMa merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Azli Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, Presiden ANGKASA merangkap Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Naib Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Datuk Prof Dr Azali Mahamed, barisan Ahli Lembaga IKMa dan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.


