Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama ANGKASA telah menganjurkan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan Tahun 2026 (MAGK’26) di Royal Chulan, Damansara, Selangor pada 27 Ogos 2026.
Pengiktirafan tersebut adalah sebagai platform rasmi bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang gerakan koperasi khususnya di Wilayah Persekutuan selain menghargai kesungguhan serta prestasi membanggakan dalam memperkukuh peranan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara.
Sebanyak 55 buah koperasi menerima pengiktirafan atas pencapaian masing-masing, membabitkan 50 koperasi terbaik, dua Koperasi Premier serta tiga penerima Anugerah Khas yang dinilai berdasarkan prestasi dan pencapaian menyeluruh.
Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (Bersara) berkata, penilaian pengiktirafan berkenaan dibuat berdasarkan faktor kewangan dan bukan kewangan bagi memastikan prestasi koperasi dinilai secara holistik.
Beliau berkata, faktor bukan kewangan meliputi pematuhan terhadap perundangan semasa, tadbir urus yang baik serta sumbangan koperasi dalam meningkatkan kebajikan anggota, manakala faktor kewangan memberi tumpuan kepada pencapaian perolehan, pemilikan aset, tahap pengumpulan dana dan amalan pengurusan kewangan terbaik.
“Prestasi perniagaan yang cemerlang mesti sentiasa seiring dengan pematuhan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Datuk Ahmad Norihan turut menggesa koperasi supaya membudayakan pengurusan risiko sebagai komponen utama dalam operasi harian bagi memastikan modal, aset dan kepentingan anggota sentiasa dilindungi, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
Menurut beliau, keberkesanan pengurusan risiko bergantung kepada keharmonian peranan tiga pilar utama koperasi iaitu Anggota Lembaga Koperasi, pihak pengurusan dan anggota yang perlu bergerak secara seiring dalam memastikan kelangsungan organisasi.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan koperasi agar tidak melupakan matlamat asal penubuhan walaupun sesebuah koperasi telah berkembang pesat dari segi perniagaan dan skala operasi.
“Koperasi wujud daripada anggota, oleh anggota dan untuk anggota,” tegasnya sebagai peringatan kepada seluruh kepimpinan koperasi yang hadir.
Sementara itu, prestasi keseluruhan koperasi di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2025 menunjukkan pertumbuhan positif apabila jumlah perolehan meningkat 4.92 peratus kepada RM7.46 bilion berbanding RM7.11 bilion pada 2024.
Jumlah aset turut meningkat 9.82 peratus kepada RM24.65 bilion, manakala jumlah anggota bertambah 5.69 peratus kepada 2.51 juta orang.
Jumlah syer dan yuran pula meningkat 1.67 peratus kepada RM9.59 bilion, sementara bilangan koperasi turut berkembang 0.74 peratus kepada 1,223 buah.
Mengakhiri ucapannya, Datuk Ahmad Norihan menyeru seluruh kepimpinan koperasi agar setiap keputusan yang dibuat pada hari ini berteraskan integriti demi memastikan kestabilan, kelangsungan dan legasi gerakan koperasi dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Antara koperasi yang turut mencatat pencapaian membanggakan ialah Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) yang menduduki tempat kelapan dalam pengiktirafan MAGK’26, sekali gus membuktikan prestasi serta komitmen koperasi berkenaan dalam memperkukuh gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Haji Fadilah Salim, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Tengah, Puan Noranita Mohd Nor dan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain.




































