HomeUncategorizedANGKASA, INSKEN Meterai Kerjasama Perkasa Usahawan Dan Ekosistem Koperasi

ANGKASA, INSKEN Meterai Kerjasama Perkasa Usahawan Dan Ekosistem Koperasi

ANGKASA dan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkukuh pembangunan kapasiti usahawan serta memperluas peluang penglibatan golongan usahawan dalam ekosistem koperasi. Majlis menandatangani MOU tersebut berlangsung di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya, hari ini (3 September 2026).

Kerjasama strategik itu menjadi landasan kepada kedua-dua organisasi untuk memperkukuh usaha dalam bidang pembangunan keusahawanan, meliputi aspek latihan, bimbingan, pembangunan kapasiti serta pembentukan jaringan dan peluang perniagaan kepada usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama tersebut hadir pada masa yang tepat berikutan keperluan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang mempunyai keupayaan kukuh dari segi pengurusan dan pengembangan perniagaan, selain dapat memanfaatkan kekuatan ekosistem koperasi.

Menurut beliau, gerakan koperasi Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi yang besar dengan statistik 2025 merekodkan sebanyak 16,468 koperasi, melibatkan keanggotaan seramai 7.33 juta orang, selain aset berjumlah RM186.75 bilion dan perolehan sebanyak RM81.62 bilion.

Katanya, kekuatan tersebut boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mempunyai produk, kemahiran serta potensi untuk berkembang tetapi masih bergerak secara bersendirian, menerusi jaringan, perkongsian sumber dan akses kepada pasaran yang lebih luas.

“INSKEN mempunyai kepakaran dalam membangunkan usahawan dan PMKS, manakala ANGKASA mempunyai jaringan koperasi yang luas di seluruh negara. Kekuatan ini boleh digabungkan untuk mengenal pasti usahawan berpotensi, membangunkan kapasiti mereka dan seterusnya membuka ruang untuk menyertai ekosistem koperasi,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama berkenaan turut memberi manfaat kepada gerakan koperasi apabila kemasukan usahawan dan PMKS yang mempunyai kepakaran serta model perniagaan yang baik dapat membantu koperasi memperluaskan aktiviti ekonomi, membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dan meneroka bidang perniagaan baharu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menegaskan pembangunan kapasiti tidak seharusnya terhenti pada aspek latihan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan bimbingan dan jaringan perniagaan bagi memastikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan perniagaan sebenar. Beliau turut berharap kerjasama itu dapat menghasilkan impak yang boleh diukur, termasuk dari segi jumlah usahawan yang dibangunkan, penyertaan mereka dalam ekosistem koperasi serta peluang ekonomi yang berjaya diwujudkan.

Beliau berkata, MOU antara ANGKASA dan INSKEN diharapkan menjadi lebih daripada sekadar dokumen kerjasama, sebaliknya mampu membina jambatan antara dunia keusahawanan dan gerakan koperasi, sekali gus memperkasa PMKS, memperkukuh koperasi dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang memberi manfaat lebih besar kepada anggota, komuniti serta negara.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, kerjasama strategik bersama ANGKASA itu mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memperkukuh pembangunan usahawan dan PMKS menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh serta berterusan.

Menurut beliau lagi, kerjasama dengan ANGKASA akan membolehkan usaha pembangunan usahawan dilaksanakan secara lebih tersusun dengan menghubungkan mereka kepada jaringan koperasi, sekali gus mewujudkan peluang pertumbuhan perniagaan yang memberi manfaat kepada usahawan, koperasi dan ekonomi negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob serta barisan Anggota JKAN Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine