HomeUncategorizedAcara Kebudayaan dan Kemasyarakatan Warnai Hari Terakhir Program Semarak Perpaduan 2026

Acara Kebudayaan dan Kemasyarakatan Warnai Hari Terakhir Program Semarak Perpaduan 2026

Program Semarak Perpaduan 2026 yang menghimpunkan 98 orang pelajar tajaan Yayasan ANGKASA bersama 17 buah keluarga angkat dan komuniti setempat di Beseri, Perlis melabuhkan tirai pada 6 September 2026 selepas berlangsung selama beberapa hari dengan pelbagai pengisian berteraskan perpaduan, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Pada hari terakhir program, pelbagai aktiviti melibatkan pelajar bersama keluarga angkat diadakan antaranya pertandingan tuju tin, bowling nyior, Semakin Jauh, Semakin Sayang, kerusi muzikal dan Wajah Kesayangan Hamba.

Kanak-kanak dalam komuniti setempat turut mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan aktiviti sukaneka, manakala penglibatan komuniti diteruskan menerusi pertandingan bola jaring, bola sepak, sepakan penalti, pembuatan garam belacan serta gubahan tuala dan telekung.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutupan Acara Sukan Perpaduan, Pertandingan Mewarna dan Sukaneka Pelajar Tajaan Yayasan ANGKASA Bersama Keluarga Angkat Komuniti yang dirasmikan oleh Pengarah Suruhajaya Koperasi Malaysia Negeri Perlis, Encik Abdul Rahman Ngatenan @ Adnan mewakili Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B), Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Majlis turut disusuli penyampaian hadiah bagi Sukan Perpaduan, Pertandingan Mewarna serta Sukaneka Komuniti dan Sukaneka Pelajar bersama keluarga angkat, selain cabutan bertuah, penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan sesi bergambar.

Pengisian program kemudiannya diteruskan pada sebelah malam menerusi Majlis Perasmian Penutupan Program Semarak Perpaduan Pelajar Yayasan ANGKASA Bersama Keluarga Angkat dalam majlis makan malam yang bermula pada jam 8 malam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Encik Norzahiruddin Amin Hussin mewakili Ketua Pengarah JPNIN dan turut diserikan dengan persembahan tarian pembukaan serta ucapan wakil penghulu yang mewakili pelajar.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi kategori Posting Terbaik Media Sosial Yayasan ANGKASA menerusi platform Facebook, TikTok dan Instagram, selain pengiktirafan kepada Peserta Terbaik Lelaki dan Perempuan.

Sijil penyertaan turut disampaikan kepada wakil kumpulan pelajar tajaan Yayasan ANGKASA, diikuti penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan sesi bergambar sebagai acara penutup program.

Sepanjang penganjurannya, Program Semarak Perpaduan 2026 menyediakan ruang kepada pelajar tajaan Yayasan ANGKASA untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan bersama keluarga angkat serta komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti, termasuk Larian Kebudayaan Orang Utara 2026, program sukan, pertandingan kebudayaan dan aktiviti kemasyarakatan.

Program berkenaan turut menjadi platform untuk menggalakkan interaksi antara generasi, memperkukuh hubungan antara pelajar dan keluarga angkat serta menyemai nilai perpaduan dan semangat kemasyarakatan dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Md Yusof Shamsuddin dan Haji Nasir Khan Yahaya, Setiausaha ANGKASA Negeri Perlis, Datuk Haji Azizi Ariffin, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad; serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Encik Shahrizal Abdan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine