ANGKASA meneroka peluang memperluas pasaran produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia ke Azerbaijan serta rantau Balkan menerusi Alat Free Economic Zone (AFEZ), sebuah zon ekonomi strategik yang berpotensi menjadi laluan perdagangan antara Timur dengan Barat.
Peluang berkenaan diteroka menerusi penyertaan ANGKASA dalam sesi temu mesra dan forum strategik AFEZ yang dianjurkan Kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur pada 22 September 2026. Program tersebut turut disertai lebih 100 peserta terdiri daripada wakil kedutaan, syarikat tempatan serta syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.
AFEZ yang terletak di daerah Garadagh, Baku, Azerbaijan merupakan zon perniagaan strategik yang memberi tumpuan kepada aktiviti logistik dan pembuatan berorientasikan eksport, selain menyediakan peluang kepada entiti perniagaan luar Azerbaijan untuk menubuhkan pusat pengedaran serantau dan kemudahan pemprosesan.
Menerusi penyertaan berkenaan, ANGKASA melihat potensi AFEZ sebagai platform untuk memperluas jaringan perdagangan serta membuka akses kepada pasaran Azerbaijan, Balkan dan rantau sekitarnya.
Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meneroka peluang pemasaran produk dan perkhidmatan gerakan koperasi Malaysia di pasaran baharu.
“Hari ini kita hadir dengan misi yang lebih bertumpu kepada eksplorasi peluang pemasaran produk dan perkhidmatan kita di negara-negara Balkan, dan Azerbaijan merupakan antara tempat yang menarik untuk kita perhatikan.
“Saya yakin dalam masa lima hingga 10 tahun lagi, jika kita bersungguh-sungguh menaik taraf produk dan perkhidmatan kita, insya-Allah gerakan koperasi Malaysia juga akan menjadi sebahagian daripada AFEZ pada tahun-tahun mendatang,” katanya ketika mengadakan perbincangan bersama Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Khazar Farhadov.
Menurut beliau, sekiranya koperasi Malaysia mempunyai kapasiti yang mencukupi, gerakan koperasi melalui ANGKASA berpotensi meneroka penubuhan hab antarabangsa menerusi inisiatif berkenaan bagi memberi manfaat kepada anggota.
Katanya, rangkaian perundangan bebas dan sistem “pusat sehenti” yang ditawarkan AFEZ berpotensi memudahkan urusan logistik, sekali gus membolehkan entiti koperasi beroperasi dengan lebih cekap dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Jika perkara ini dapat direalisasikan, perkara tersebut akhirnya mampu mengubah peranan ANGKASA daripada sebuah badan apeks domestik kepada gerbang utama yang menghubungkan koperasi Malaysia secara terus ke pasaran global yang menguntungkan dengan risiko fiskal yang minimum,” katanya.
Antara produk yang dilihat berpotensi dipasarkan menerusi AFEZ termasuk makanan halal terproses, kosmetik berasaskan herba tempatan dan barangan kraf tangan premium, selain produk komoditi pertanian bernilai tambah seperti minyak kelapa sawit bertapis dan produk getah hiliran.
Bagi sektor perkhidmatan pula, peluang turut dikenal pasti dalam bidang logistik rantaian sejuk, pengurusan rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan Islam serta pelancongan pasaran Muslim.
Selain peluang pemasaran produk dan perkhidmatan, penyertaan dalam forum tersebut turut memberi ruang kepada ANGKASA meneroka potensi hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Azerbaijan, termasuk dalam sektor logistik halal, perbankan Islam, pendidikan tinggi, pelancongan perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan halal, pelancongan mesra Muslim serta teknologi hijau.
Dalam pada itu, Haji Zaharuddin turut beramah mesra dan mengadakan perbincangan ringkas bersama Setiausaha Pertama dan Ketua Bahagian Ekonomi Kedutaan Republik Kazakhstan, Amir Aldazhanov, Konsul Kedutaan Republik Azerbaijan, Elshan Hamidov serta Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan, Mutalibjon Khojimurotov.
Turut hadir ialah Pengarah MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd., Hamudi Hassan.









