HomeANTARABANGSAEmpat Wakil Asia Pasifik Kukuhkan Keterwakilan dalam Lembaga ICA

Empat Wakil Asia Pasifik Kukuhkan Keterwakilan dalam Lembaga ICA

Pemilihan empat wakil koperasi anggota Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026–2030 mencerminkan keterwakilan kukuh rantau berkenaan dalam badan induk gerakan koperasi dunia.

Empat wakil tersebut ialah Pengerusi Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited, Dileep Sanghani (India), Presiden All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), Yuyan Wang (China), Presiden Central Union of Agricultural Co-operatives, Yoshito Shinno (Jepun) serta Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (Malaysia).

Presiden ICA-AP, Dr. Chandra Pal Singh Yadav, dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP yang diadakan secara dalam talian pada 29 September 2026, merakamkan ucapan tahniah kepada keempat-empat wakil berkenaan atas pemilihan mereka menerusi Perhimpunan Agung ICA di Panama City, Panama pada 15 September 2026.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Naib-naib Presiden ICA-AP, iaitu Adili Wubuli (ACFSMC) dan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, Ahli Lembaga ICA-AP dari lapan negara, Pengarah Serantau ICA-AP, Balasubramanian Iyer serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Dalam pada itu, Dr. Chandra Pal turut menekankan kepentingan memastikan suara koperasi Asia dan Pasifik dapat menyumbang secara lebih bermakna kepada agenda gerakan koperasi global, di samping memperkukuh peranan rantau berkenaan dalam pembangunan gerakan koperasi antarabangsa.

Beliau turut menggalakkan anggota ICA-AP supaya terus aktif dalam pelbagai program dan inisiatif serantau, selain menyumbang melalui perkongsian pengalaman, pandangan dan kepakaran bagi memastikan penglibatan anggota terus memberi nilai kepada pembangunan gerakan koperasi di rantau berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, sebanyak enam agenda telah dibentangkan, antaranya pengesahan minit Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP di Bangkok, Thailand pada 11 Mac 2026, Pelan Kerja ICA-AP 2027 dan Bajet ICA-AP 2027.

Pelan Kerja Tahunan ICA-AP 2027 dirangka bagi menterjemahkan Strategi ICA-AP 2026–2030 kepada tindakan yang lebih konkrit melalui penyelarasan antara pejabat serantau, jawatankuasa tematik dan kerjasama projek.

Pelan tersebut memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama, iaitu pembangunan kapasiti, mempengaruhi dasar, menjana dan berkongsi pengetahuan serta menggembleng sumber.

Secara keseluruhannya, pelan berkenaan bertujuan meningkatkan penglibatan dan keterlihatan anggota di negara anggota ICA-AP, mempromosikan koperasi sebagai model perniagaan yang inklusif, telus dan mampan, memperkukuh keselarasan dasar menerusi penyelarasan antara peringkat serantau dan nasional serta membina asas bukti dan jaringan kerjasama yang lebih kukuh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine