ASEAN Co-operative Expo 2026 yang diadakan di Timor Leste bersempena dengan penganjuran The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026) dijangka dapat membuka peluang kepada pelbagai produk dan perkhidmatan koperasi mikro untuk menembusi pasaran ASEAN.
Ekspo ini adalah lanjutan daripada ASEAN Co-operative Product Showcase 2025 (ACPS2025) yang diadakan bersempena dengan ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) yang diadakan di Bandar Sunway Petaling Jaya Selangor pada tahun lepas. Konsep dan format daripada ACPS2025 sekali lagi direplikasikan sebagai konsep utama program ini.
Ekspo produk ini telah berjaya membuka ruang kepada lebih 30 pempamer yang majoritinya daripada Timor Leste. Selain itu, elspo ini turut disertai oleh pempamer daripada negara Kemboja, dan Indonesia yang rata-ratanya datang dari wilayah Nusa Tenggara Barat, wilayah Indonesia yang terdekat dengan Timor Leste.
Dari segi statistik, Timor Leste yang mempunyai lebih daripada 351 buah koperasi dengan 100,000 anggota individu mempunyai enam (6) produk teras yang dijadikan sebagai produk penghasilan utama untuk dipasarkan di pasaran domestik dan antarabangsa. Produk tersebut adalah Sorghum, madu, susu, garam, minyak kelapa dan kemiri (candlenut).
His Excellency Mr. Arsenio Pereira da Silva, Secretary of State for Cooperatives Timor Leste (SECoop) ketika di dalam ucapan beliau semasa Majlis Pembukaan ASEAN Co-operative Expo di Dili Convention Centre menyatakan bahawa enam produk teras ini disasarkan untuk dipelbagaikan lagi variasi produknya untuk dipasarkan ke pasaran ASEAN dan global. Sebagai contoh, pokok dan buah sorghum, boleh divariasikan menjadi 30 variasi produk yang berlainan.
“Kita memerlukan lebih banyak pendedahan kepada teknologi dan kepakaran luar supaya kita dapat menambah variasi produk teras di sini seperti sorghum, kopi, kemiri, dan minyak kelapa agar ianya dilihat relevan untuk dipasarkan di pasaran global, tetapi pada masa yang sama kita juga memerlukan strategi promosi yang baru yang lebih berkesan bagi memperlihatkan keunikan hasil bumi Timor Leste seperti sorghum dan kopi” ujarnya lagi.
Terdapat lebih daripada 80 negara pengeksport kopi di dunia dan 35% daripada jumlah eksport kopi dunia didominasi oleh Brazil, Vietnam menguasai 18%, manakala Indonesia dan Colombia masing-masing menguasai 7% daripada jumlah eksport kopi dunia. Bagi tanaman sorghum, terdapat 65 buah negara di dunia yang menjadi pengeksport kepada tanaman tersebut, dan majoriti eksport datang daripada Amerika Syarikat yang menguasai 18%, Brazil pada 11%, Nigeria pada 10%, India pada 7% dan Ethiopia pada 6%.
“Kami tidak menyasarkan untuk menjadi pengeksport terbesar bagi produk kopi mahupun sorghum, kerana kedua-dua hasil bumi ini boleh didapati di kebanyakkan negara; yang kami sasarkan adalah untuk kekal menjadi pengeluar kadar rendah berkualiti tinggi atau low-volume high-quality producer” ujar His Excellency Mr. Filipus Nino Pereira, Menteri Perdagangan & Industri Timor Leste ketika melancarkan pembukaan ASEAN Co-operative Expo di Dili, Timor Leste pada 2 Oktober 2026.
Timor Leste kini telah berjaya mengeksport empat jenis produk berkualiti tinggi ke lebih 35 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, China, India, Jepun dan negara-negara eropah. Empat jenis produk tersebut adalah kopi arabica organik, bunga cengkih, vanilla dan tepung cassava. Keempat-empat produk ini berjaya menembusi pasaran global dengan bantuan jaringan koperasi tempatan di peringkat global seperti Cooperativa Cafe Timor (CCT) dan Cooperativa Comercio Agricola de Timor (C-CAT) yang mempunyai jaringan yang luas diperingkat global.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berpendapat bahawa Timor Leste perlu menggunakan kekuatan wilayah Indonesia yang terdekat dengan mereka, iaitu Nusa Tenggara Barat. Terdapat lebih daripada 7,600 buah koperasi di wilayah tersebut, dan berdasarkan data daripada pihak KEMENKOP, daripada 7,600 buah koperasi tersebut, lebih 3,700 buah koperasi amat aktif dalam aktiviti perniagaan mikro.
“Struktur koperasi di Timor Leste dan Wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) amat berbeza, walaupun mereka berkongsi banyak persamaan seperti budaya, jenis hasil bumi dan juga iklim dan cuaca yang sama, namun di NTT mereka memang telah dibantu pemerintah Indonesia dengan bantuan teknologi dan kepakaran untuk pengeluaran skala besar, manakala di Timor Leste, mereka masih lagi bergantung kepada cara tradisional yang hanya mampu menjana pengeluaran produk dalam skala kecil.
“Sebagai contoh, biji kopi datang daripada pihak Timor Leste, dan kemudian pemprosesan kopi tersebut dibuat di NTT, kerana kelebihan Timor Leste adalah biji kopi arabica mereka sememangnya berkelas dunia. Timor Leste memberi fokus kepada meningkatkan pengeluaran biji kopi dan pihak NTT memberi fokus untuk meningkatkan pengeluaran kopi terproses. Justeru, dalam pemikiran mereka, seharusnya mereka mencari jalan untuk bekerjasama dan saling melengkapi, dan mereka tidak seharusnya menjadi pesaing sesama sendiri”, ujarnya.











