HomeUncategorizedPresiden ANGKASA Seru Komuniti Timor-Leste Bina Kekayaan Melalui koperasi

Presiden ANGKASA Seru Komuniti Timor-Leste Bina Kekayaan Melalui koperasi

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyeru masyarakat Timor-Leste memanfaatkan kekuatan komuniti untuk membina kekayaan dan meningkatkan taraf ekonomi melalui gerakan koperasi.

Beliau berkata, pendekatan pembangunan koperasi berasaskan komuniti yang dilaksanakan di Malaysia termasuk koperasi masjid dan koperasi sekolah boleh dijadikan contoh untuk dikembangkan di Timor-Leste yang mempunyai jaringan komuniti yang kukuh di seluruh 13 wilayah.

“Kita sudah lihat kejayaan ANGKASA di Malaysia membangunkan koperasi berteraskan komuniti seperti Koperasi Kariah Masjid (KKM) dan koperasi sekolah. Timor-Leste pula mempunyai keadaan yang lebih ideal kerana masyarakatnya sendiri mempunyai ikatan komuniti yang kuat di kesemua 13 wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026) di Dili, Timor-Leste.

Menurutnya, kekuatan struktur masyarakat setempat boleh menjadi asas kepada pembangunan koperasi yang lebih tersusun, khususnya dalam sektor pertanian dan perusahaan berskala kecil yang menjadi sumber ekonomi utama kebanyakan komuniti.

“Di Timor-Leste, semangat bekerja bersama-sama masih lagi utuh dan ia merupakan identiti penduduk negara ini. Perkara tersebut sememangnya sejajar dengan semangat koperasi itu sendiri,” katanya.

Timor-Leste mempunyai lebih 400 kampung yang diketuai ketua suko serta lebih 2,500 komuniti kecil dikenali sebagai aldeias. Komuniti berkenaan masih mengekalkan identiti tersendiri dan berpandukan hukum adat yang dikenali sebagai Tarabandu.

Sebahagian besar komuniti tersebut bergantung kepada aktiviti ekonomi berskala kecil khususnya sektor pertanian dan perladangan seperti penanaman jagung, padi serta kopi organik.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, kekuatan ekonomi berasaskan komuniti itu boleh diperkasakan menerusi model koperasi yang membolehkan pengeluar kecil menggabungkan sumber, meningkatkan nilai produk serta memperluas akses kepada pasaran.

“Saya yakin, Timor-Leste tetap akan terus maju dan membangun tanpa meninggalkan adat resam mereka. Sebaliknya, perkara inilah yang menjadikan Timor-Leste unik, sama seperti kebanyakan negara ASEAN yang lain,” katanya.

Dari sudut perdagangan, ekonomi Timor-Leste turut bergantung kepada eksport minyak dan petroleum selain produk agrikultur dan pertanian.

Lebih 80 peratus eksport pertanian dan agrikultur negara itu disumbangkan oleh hasil pertanian pekebun kecil, dengan kopi organik antara produk utama yang mempunyai nilai eksport.

Timor-Leste dilaporkan mengeksport antara 6,000 hingga 8,000 tan kopi organik setahun dengan nilai perolehan eksport antara AS$15 juta hingga AS$20 juta.

Sektor koperasi desa turut memainkan peranan dalam pembangunan perusahaan kopi, antaranya Cooperative Cafe Timor (CCT).

Majlis pembukaan DRCCMD2026 yang merupakan program peringkat ASEAN buat julung kalinya diadakan di Timor-Leste itu dirasmikan Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste, His Excellency Mr. Filipus Nino Pereira.

Program tersebut turut menampilkan rakaman ucapan daripada Yth. Bpk. Robby Tulus daripada inKUR Federation, Pengarah Serantau International Cooperative Alliance (ICA) Asia dan Pasifik, Mr. Balu Iyer serta Menteri Koperasi Indonesia, Yth. Bpk. Ferry Juliantono.

DRCCMD2026 menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada wakil Sekretariat ASEAN, wakil kedutaan negara ASEAN di Timor-Leste, delegasi gerakan koperasi Malaysia, Kemboja dan Indonesia serta wakil International Cooperative Alliance.

Program berkenaan turut disertai lebih150 wakil daripada lebih 80 buah koperasi di seluruh Timor-Leste.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ACO, Dato’ Hj. Kamarudin Ismail; Naib Pengerusi Eksekutif Operasi dan Kawalselia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Haji Efendee OP Andu serta Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), Haji Mazri Mahmood.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine