Koperasi Pekerja Nasional Berhad (KOPNAS) yang diketuai oleh Encik Zulfadhli Ahmad mengadakan pertemuan bersama Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Pejabat Presiden ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 8 Oktober 2026.
Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan peluang penyertaan koperasi Malaysia dalam Davao Del Norte International Halal Exhibition 2026 yang bakal berlangsung di Davao, Filipina pada 3 hingga 5 Disember 2026.
Program tersebut bakal memberi ruang kepada koperasi Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama, meneroka peluang pasaran antarabangsa serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan koperasi melalui pameran, program pemadanan perniagaan (business matching) dan business pitching.








ANGKASA dan ASEAN Cooperative Organization (ACO) akan membantu mengenal pasti koperasi yang bersesuaian, manakala KOPNAS dilantik sebagai penyelaras bersama bagi program tersebut.
Dalam pertemuan sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menerima borang keanggotaan ANGKASA bagi Koperasi Kerjaya Nasional Berhad (KOPKERNAS), yang mencerminkan komitmen ANGKASA dalam memperkukuh gerakan koperasi serta menggalakkan penyertaan golongan muda dan profesional melalui penubuhan koperasi sebagai platform memperkasa potensi ekonomi dan kerjaya.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen ANGKASA dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan gerakan koperasi serta membuka lebih banyak peluang perniagaan di peringkat serantau dan global.
Turut sama dalam perbincangan tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan
Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim.


