Program Jaguh Keusahawanan Nasional (JAGUH) 2026 menghimpunkan 3,008 peserta yang menghasilkan sebanyak 768 projek keusahawanan. Daripada jumlah itu, 30 projek terbaik mara ke peringkat akhir sebelum juara bagi setiap kategori dan sektor yang dipertandingkan dinobatkan dalam satu majlis yang berlangsung di Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Petaling Jaya pada 15 Oktober 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Encik Steven Sim Chee Keong berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan, di samping membimbing mereka menghasilkan idea serta projek perniagaan berdasarkan bidang pengajian masing-masing.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan antara usaha melahirkan usahawan muda yang inovatif dan berdaya saing menerusi latihan serta bimbingan yang tersusun dan menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Jaguh Keusahawanan Nasional (JAGUH) 2026.
JAGUH dianjurkan oleh KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), dengan kerjasama program PROTÉGÉ serta pelbagai universiti awam dan swasta. Program itu memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan berimpak tinggi, termasuk dalam sektor High Growth High Value (HGHV), Ekonomi Jingga dan Ekonomi Biru.
Pelaksanaannya merangkumi latihan intensif, bimbingan industri serta pembangunan prototaip bagi membantu peserta mengembangkan idea perniagaan berdasarkan keperluan pasaran.
Dalam ucapannya, YB Encik Steven turut menggariskan lima perkara yang perlu diberi perhatian oleh bakal usahawan sebelum memulakan perniagaan, iaitu mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikan, menentukan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, merancang proses perniagaan, menyediakan modal dan melaksanakan promosi.
Beliau berkata, bakal usahawan perlu memahami masalah serta keperluan masyarakat terlebih dahulu sebelum membangunkan produk atau perkhidmatan yang mampu memenuhi permintaan pasaran.
Selain mempunyai idea perniagaan yang jelas dan perancangan operasi yang teratur, modal juga penting untuk memulakan perniagaan, namun perlu disertai ilmu dan pengetahuan bagi memastikan perniagaan dapat diurus serta dikembangkan dengan berkesan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa INSKEN, jika tiada aral melintang, menyasarkan untuk melatih 10,000 usahawan di seluruh negara dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut mengingatkan bakal usahawan bahawa mereka tidak bersendirian dalam merealisasikan aspirasi dan cita-cita perniagaan kerana terdapat pelbagai bentuk dana serta kemudahan pembiayaan yang boleh diterokai bagi menyokong usaha berkenaan.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP (Dasar dan Pemantauan), Haji Rahman Mohd Din, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Saidatu Akhma Hassan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustafa Kamil Ayub, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr. Mohd Ali Mansor, Presiden ANGKASA merangkap Anggota Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni dan Naib Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Azali Mohamed.

































