HomeUncategorizedANGKASA Raih Pengiktirafan IMT-GT Trade & Investment Award 2026

ANGKASA Raih Pengiktirafan IMT-GT Trade & Investment Award 2026

ANGKASA menerima anugerah IMT-GT Trade & Investment Award pada majlis IMT-GT Regional Business Excellence Awards (RBEA 2026) yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, sebagai pengiktirafan dalam kategori perdagangan dan pelaburan di peringkat serantau.

Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia, Indonesia dan Thailand bagi menterjemahkan kerjasama serantau kepada peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ketiga-tiga negara mempunyai potensi besar untuk membangunkan kerjasama ekonomi menerusi pembinaan kepercayaan, pengukuhan hubungan strategik serta galakan kepada sektor perniagaan untuk meneroka peluang merentas sempadan.

Pengiktirafan menerusi anugerah ini turut meraikan organisasi dan individu yang menunjukkan kepimpinan, inovasi serta komitmen terhadap pembangunan mampan dan kerjasama serantau,” katanya.

Beliau berharap perhimpunan tersebut dapat merintis kerjasama baharu, memperkukuh hubungan sedia ada serta membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan kolaborasi dalam rantau Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Majlis anugerah anjuran IMT-GT Joint Business Council (JBC) kali ini menyaksikan seramai 25 penerima diiktiraf daripada 32 pencalonan yang diterima. Pengiktirafan diberikan merangkumi beberapa kategori utama termasuk pertumbuhan kepimpinan, perdagangan dan pelaburan, kelestarian hijau, transformasi teknologi dan digital serta kecemerlangan infrastruktur dan kesalinghubungan.

Pengarah IMT-GT JBC, Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad, majlis penganugerahan tersebut bukan sekadar platform mengiktiraf pencapaian perniagaan, malah membuka ruang untuk menghubungkan organisasi berprestasi tinggi dengan ekosistem perniagaan IMT-GT yang lebih luas.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara organisasi dari Malaysia, Indonesia dan Thailand, termasuk melalui program serantau serta aktiviti pemadanan perniagaan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah sewaktu ditemu bual pemberita PELANCAR menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut mencerminkan potensi gerakan koperasi untuk memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.

“ANGKASA komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik serta membuka lebih banyak peluang kepada koperasi Malaysia untuk meneroka pasaran Indonesia dan Thailand, sekali gus meningkatkan daya saing gerakan koperasi dalam ekosistem ekonomi serantau,” katanya.

Penganjuran RBEA 2026 selari dengan aspirasi IMT-GT Vision 2036 untuk membangunkan rantau yang lebih bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan, dengan penekanan terhadap perdagangan, pelaburan, pelancongan, kesalinghubungan infrastruktur serta kerjasama ekonomi.

IMT-GT ditubuhkan pada 1993 sebagai platform kerjasama subrantau yang melibatkan 35 negeri dan wilayah di Malaysia, Indonesia serta Thailand bagi memperkukuh pembangunan ekonomi dan hubungan antara ketiga-tiga negara.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Abu Bakar Hamzah, Menteri dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Diraja Thailand, YB Anan Pikultipsakorn, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Republik Indonesia, Encik Danang Waskito, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor, Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Ashwad bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Wilayah Bank Pembangunan Asia, Encik Said Zaidanshah serta Pengarah Centre for IMT-GT Subregional Cooperation (CIMT), Mr. Amri Bukhairi Bakhtiar.

Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah barisan Naib Presiden ANGKASA termasuk Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Tuan Haji Zaharuddin Alias, Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine