Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyempurnakan perasmian dan menyampaikan anugerah pada Majlis Makan Malam Gala UTAC International Award 2026 anjuran My Group International Sdn. Bhd. yang berlangsung di Grand Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengasas dan Pengerusi My Group International Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Lim Kee Siang serta seluruh pasukan penganjur atas usaha menjayakan majlis berkenaan. Menurut beliau, pengiktirafan seperti itu penting dalam menghargai kepimpinan dan pencapaian organisasi serta menjadi inspirasi kepada pihak lain.
Beliau berkata, persekitaran ekonomi yang semakin mencabar menuntut perniagaan untuk terus menyesuaikan diri dan memastikan pertumbuhan dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Dalam hal ini, koperasi menawarkan model perniagaan berasaskan kerjasama dan kepentingan bersama yang mampu menggabungkan sumber serta kepakaran bagi meningkatkan daya saing dan membina daya tahan ekonomi.
Di peringkat global, beliau memaklumkan bahawa gerakan koperasi merangkumi kira-kira tiga juta koperasi dengan lebih satu bilion anggota serta menyediakan peluang pekerjaan kepada sekitar 280 juta orang.
Di ASEAN pula, sebanyak 347,599 koperasi dengan 66.6 juta anggota menyumbang kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu, bersamaan AS$195 bilion.
Selaku Presiden ANGKASA dan ASEAN Cooperative Organization (ACO), beliau menegaskan kepentingan kerjasama serantau dalam membuka peluang perniagaan, khususnya dalam sektor sekuriti makanan dan produk halal.
Beliau turut menyatakan pemilihannya sebagai Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal 2026–2030 pada 15 September lalu sebagai peluang memperkukuh suara koperasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Mengulas penganjuran UTAC International Award 2026, beliau berharap platform itu dapat memperluas jaringan antara pemimpin industri, golongan profesional dan gerakan koperasi bagi meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh daya saing perniagaan, membuka pasaran baharu serta memberi manfaat kepada anggota koperasi, komuniti perniagaan dan masyarakat secara keseluruhannya.
Sementara itu, Pengerusi My Group International Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Lim Kee Siang berkata, penganjuran UTAC International Award 2026 bertujuan mengiktiraf pencapaian, kepimpinan dan sumbangan usahawan, pemimpin perniagaan serta golongan profesional yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Menurut beliau, pengiktirafan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya inovasi, semangat keusahawanan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Beliau turut berharap UTAC International Award menjadi platform untuk memperluas jaringan profesional, mengukuhkan hubungan strategik serta membuka peluang kerjasama antara pemain industri, organisasi dan komuniti perniagaan.
Usaha tersebut diyakini mampu meningkatkan pengiktirafan terhadap perusahaan tempatan, di samping menggalakkan lebih banyak inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penasihat Diraja Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, YM Tengku Puteri Rosmawini Tengku Dato’ Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz binti Abdullah serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim.























