YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan Majlis Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di Ancasa Royale Pekan, Pahang, hari ini (23 Oktober 2026), yang julung kali diadakan bagi mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan koperasi kariah masjid dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah di negeri itu.
Majlis anjuran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur dan ANGKASA itu turut menjadi platform untuk menghargai komitmen serta pencapaian koperasi kariah masjid dalam memacu pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Dalam amanatnya, Menteri Besar Pahang menegaskan kepentingan koperasi kariah masjid untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan integriti serta mengamalkan pengurusan profesional bagi memastikan kelangsungan dan kemajuan perniagaan. Koperasi juga digalakkan meneroka peluang baharu dalam bidang pembekalan barangan keperluan, perkhidmatan komuniti, pemasaran produk anggota dan usaha niaga lain yang berdaya maju.
Beliau turut menyeru koperasi kariah masjid supaya berani mempelbagaikan kegiatan ekonomi dalam sektor peruncitan, agromakanan dan perkhidmatan bagi meningkatkan pendapatan anggota, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Pengiktirafan yang diterima, katanya, perlu dijadikan amanah dan dorongan untuk terus meningkatkan prestasi, daya saing serta kecemerlangan koperasi.
“Pada masa kini, masjid bukan lagi sekadar tempat untuk kita menunaikan ibadah dan beriktikaf semata-mata, malah fungsinya boleh dikembalikan kepada zaman keemasan Islam dahulu, iaitu sebagai pusat kemasyarakatan (community centre),” katanya.
Beliau menegaskan bahawa koperasi perlu memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati anggota, membuka ruang kepada usahawan setempat serta menyokong aktiviti sosial dan pengimarahan masjid.
Sehingga 31 Disember 2025, Negeri Pahang merekodkan seramai 314,537 anggota koperasi, termasuk 6,760 anggota daripada 87 koperasi kariah masjid berdaftar. Gerakan koperasi kariah masjid turut mencatatkan modal syer anggota melebihi RM2 juta dengan nilai aset keseluruhan melebihi RM5 juta, sekali gus membuktikan potensinya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi ummah.
Pada majlis berkenaan, Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik Negeri Pahang 2026, diikuti Koperasi Masjid Lama Permatang Badak Berhad di tempat kedua dan Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Lipis Berhad di tempat ketiga. Selain itu, sebanyak 30 koperasi kariah masjid menerima cek cura Geran Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang (HIKMAH) berjumlah keseluruhan RM450,000 menerusi Belanjawan Kerajaan Negeri Pahang 2026. Sijil Bengkel Penyediaan Kanvas Model Perniagaan (BMC) turut disampaikan kepada koperasi yang terlibat bagi membantu memperkukuh perancangan perniagaan dan meningkatkan daya saing.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA turut memperkasa koperasi kariah masjid melalui penyediaan kabin perniagaan bagi membolehkan koperasi menjalankan perniagaan runcit, dengan 25 koperasi kariah masjid telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan. Menurut beliau, model koperasi kariah masjid juga berpotensi diperluas ke peringkat antarabangsa melalui jaringan ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA) bagi membuka peluang pasaran baharu serta memperkukuh kerjasama ekonomi antara koperasi dan komuniti Islam di seluruh dunia.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang, SKM, IKMa dan ANGKASA dalam memperkasakan koperasi kariah masjid sebagai pemacu ekonomi ummah yang inklusif dan mampan. Usaha berterusan melalui pengukuhan pengurusan, pembangunan perniagaan serta penerokaan peluang ekonomi baharu diharap dapat memperluas manfaat gerakan koperasi kepada anggota dan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Koperasi Malaysia 2030.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tampatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Haji Efendee O. P. Andu, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Perundingan Koperasi IKMA, Mohamad Rasydi Abd Rashid, Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengerusi- pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang, Haji Mohd Zahidi Husain ( Pahang Timur), Dato’ Haji Mohamad Hanifah B Koya Moideen Kutty (Pahang Tengah) serta Dato’ Syed Ali Syed Mohammad (Pahang Barat).






















































