Koperasi wanita perlu mempercepat transformasi digital, memperluas jaringan strategik dan memperkukuh tadbir urus profesional bagi meningkatkan daya saing serta memastikan kelangsungan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Siti Azlin Ahmad Dauta berkata, gerakan koperasi yang merangkumi 16,468 koperasi dengan keanggotaan 7.3 juta orang mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara, termasuk menerusi penglibatan lebih aktif golongan wanita.
Beliau berkata, koperasi wanita perlu berani memanfaatkan teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI), pemasaran dalam talian dan platform e-dagang bagi memperluas pasaran serta meningkatkan kebolehpasaran produk.
“Zaman sekarang, kalau perniagaan kita tiada dalam telefon pintar, kita akan ketinggalan. Koperasi wanita mesti berani menguasai pemasaran digital, e-dagang dan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana inovasi produk adalah kunci agar kita sentiasa relevan dan dicari oleh pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026 di KSL Esplanade Hotel, di sini pada 25 Oktober 2026.
Konvensyen yang menghimpunkan kira-kira 300 koperator wanita dari seluruh negara itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan jaringan kerjasama bagi memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi koperasi.
Menurut Puan Siti Azlin lagi, penggunaan teknologi perlu disertai inovasi produk dan pendekatan pemasaran yang sesuai dengan perubahan cita rasa pengguna. Koperasi juga perlu meneroka peluang jualan secara langsung melalui platform digital serta memperkemas kaedah pembayaran bagi memudahkan urusan pelanggan.
Selain pendigitalan, beliau juga menekankan kepentingan pembinaan rangkaian strategik antara koperasi, agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membuka peluang perniagaan yang lebih luas.
Katanya, kerjasama sedemikian membolehkan koperasi menggabungkan kepakaran dan sumber untuk membina rantaian perniagaan yang lebih kukuh berbanding bergerak secara bersendirian.
Dalam aspek pengurusan pula, beliau mengingatkan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) supaya memastikan setiap keputusan perniagaan, pengurusan kewangan dan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan mematuhi peruntukan Akta Koperasi 1993 serta garis panduan SKM.
Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan dana koperasi perlu dilaksanakan secara berhemat dan berintegriti dengan mengutamakan kepentingan anggota, bukannya keuntungan individu.
“Kejayaan koperasi perlu diukur berdasarkan keupayaannya memberikan manfaat ekonomi yang berterusan kepada anggota, termasuk melalui dividen, bantuan pendidikan, skim perlindungan kebajikan dan peluang perniagaan yang mampan,” ujarnya.
Tambahnya, SKM bersama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) turut menyediakan sokongan dalam bentuk latihan pengurusan, kewangan dan pendigitalan bagi membantu meningkatkan keupayaan tadbir urus serta profesionalisme koperasi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggalakkan koperasi wanita meneroka model perusahaan sosial yang menggabungkan aktiviti perniagaan dengan usaha menangani isu masyarakat serta meningkatkan sosioekonomi komuniti.
Katanya, SKM menyediakan program SE.RASI yang merangkumi latihan kesedaran perusahaan sosial menerusi SE.Train serta bimbingan perniagaan melalui SE.Coach bagi membantu koperasi berpotensi mendapatkan penarafan perusahaan sosial.
Koperasi yang layak dan memperoleh penarafan berkenaan juga berpeluang menerima geran sehingga RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau mengambil contoh koperasi kraf tangan wanita di Sabah dan Sarawak yang bukan sahaja memasarkan produk ke luar negara, malah membantu meningkatkan pendapatan wanita penenun di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, pemerkasaan koperasi wanita merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan gerakan koperasi yang menyeluruh, khususnya bagi memperluas penyertaan wanita dalam bidang ekonomi, kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Beliau berkata, ANGKASA turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pewujudan Dana Pemerkasaan Keusahawanan Koperasi Wanita Nasional atau Women Cooperative Growth Fund bagi membantu koperasi wanita mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluas pasaran.
Menurutnya, dana berkenaan dicadangkan sebagai instrumen pembiayaan pertumbuhan yang dapat memenuhi keperluan koperasi wanita pada peringkat pengembangan perniagaan, selain bantuan permulaan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menekankan kepentingan kerjasama antara ANGKASA dengan SKM serta agensi berkaitan bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada koperasi wanita.
Beliau berharap konvensyen berkenaan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang berterusan antara peserta, sekali gus membolehkan ilmu dan pengalaman yang dikongsi diterjemahkan kepada tindakan bagi memperkukuh perniagaan koperasi masing-masing.
“Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026 diharap dapat memperkasa keupayaan koperator wanita untuk meneroka peluang baharu, meningkatkan daya saing dan menyumbang secara lebih signifikan kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Pengarah SKM Negeri Johor, Puan Nor Maizatul Akmal Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026, Hajah Noorizan Abd Latif, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman.


