Gerakan koperasi perlu memainkan peranan lebih strategik dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi, berkualiti dan ditawarkan pada harga munasabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, keterjaminan makanan bukan sekadar bergantung kepada jumlah pengeluaran, malah merangkumi aspek pengumpulan, pemprosesan, penyimpanan, pengedaran dan pemasaran hasil tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Forum Inisiatif, Insentif dan Peluang: Memperkasa Koperasi Demi Keterjaminan Makanan Negara sempena Seminar Koperasi Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara bertempat di Hotel Lexis, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 11 November 2026.
Menurut beliau, kadar sara diri (SSR) beras negara meningkat kepada 54.3 peratus pada 2025 berbanding 52.9 peratus pada 2024, namun negara masih mengimport kira-kira 1.36 juta tan metrik beras. Justeru, ANGKASA terus mempergiat penglibatan koperasi dalam sektor tenusu, ayam, koko, perikanan dan tanaman makanan, selain memperkukuh pemasaran melalui Pusat Produk Koperasi (CPRC) dan program BA100.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Zainudin Mohamad berkata, SKM komited menggalakkan lebih banyak koperasi menceburi sektor agromakanan termasuk pertanian fertigasi, penternakan, perikanan dan pemprosesan hasil melalui pendekatan from farm to plate.
SKM turut menyokong usaha mengurangkan kos sara hidup menerusi Program Jualan MADANI Koperasi (JMK) yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan, selain memperkukuh rantaian bekalan melalui inisiatif SCOPE dan CoopMart serta menyediakan bantuan dan geran pembangunan perniagaan kepada koperasi.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Encik Mohd Zaib Mat Yunus pula menekankan kepentingan latihan dan pendidikan koperasi bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan serta anggota dalam pengurusan perniagaan tani dan rantaian bekalan makanan.
Menurut beliau, IKMa turut membantu memperkasa penglibatan koperasi dalam pertanian moden, penternakan, perikanan dan pengedaran melalui kerjasama strategik bersama SKM, ANGKASA dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Kemudahan Coop Mart IKMa juga menjadi antara platform pemasaran produk makanan tempatan.
Forum tersebut turut mengetengahkan kepentingan kerjasama strategik antara koperasi, agensi kerajaan dan pemain industri dalam memperluas akses pembiayaan, teknologi serta peluang pasaran.
Ketiga-tiga ahli panel turut memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh kapasiti pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan dan membina rangkaian perniagaan yang mampan supaya koperasi bukan sekadar menjadi pengeluar, malah turut berperanan sebagai pemborong dan pengedar makanan tempatan.
Forum dikendalikan oleh moderator Pengarah Unit Pembangunan Modal Insan Transformasi Digital IKMa, Encik Faiz Ahmad Yatim.
Seminar yang turut menampilkan perkongsian mengenai strategi meningkatkan simpanan beras negara, pengurusan rantaian bekalan makanan tempatan, agropelancongan dan model agromakanan koperasi itu diakhiri dengan Majlis Peluncuran Inisiatif Lestari (ESG) IKMa serta penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Kynohaigo Group Sdn. Bhd. (KHE).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penasihat Strategik Kelestarian (ESG) IKMa, Dr. Ts. Norsaidatul Akmar Mazelan serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Encik Halim Haji Ibrahim.












































