ANGKASA dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan penglibatan gerakan koperasi dalam industri halal global menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di UIAM, Gombak pada 11 November 2026.
Kerjasama menerusi International Institute for Halal Research and Training (INHART) itu menggabungkan kepakaran akademik dan penyelidikan UIAM dengan pengalaman serta jaringan ANGKASA bagi menterjemahkan ilmu kepada manfaat ekonomi dan sosial.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, industri halal kini berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman, merangkumi farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, teknologi serta pelbagai perkhidmatan lain yang menawarkan peluang pertumbuhan besar.
“Menurut laporan Halal Industry in OIC Member Countries: Challenges and Prospects terbitan Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC) pada Mac 2026, pasaran halal global dianggarkan bernilai USD7.36 trilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada USD10.89 trilion menjelang 2028.
Malaysia turut mempunyai potensi besar apabila eksport halal negara pada 2025 mencecah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), negara menyasarkan eksport halal sebanyak RM75.2 bilion menjelang 2030 dengan sumbangan 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.
Mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, beliau berkata gerakan koperasi perlu mengambil peluang untuk terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai ekonomi halal, termasuk pengeluaran bahan mentah, pemprosesan, pengedaran, logistik, pemasaran dan pembangunan produk.
“Kita tidak mahu koperasi hanya berada di penghujung rantaian nilai sebagai pengedar atau penjual. Sebaliknya kita mahu melihat koperasi memiliki pengetahuan dan keupayaan untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi yang menghasilkan nilai tambah lebih tinggi serta membangunkan perniagaan yang mampan,” ujarnya.
Katanya, kerjasama dengan INHART membuka peluang kepada koperasi memanfaatkan kepakaran dalam penyelidikan, pembangunan teknologi halal, pemahaman standard dan pensijilan serta peningkatan kompetensi modal insan. Usaha itu turut merangkumi penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan dan perkongsian kepakaran melalui seminar serta bengkel.
Beliau menegaskan, industri halal tidak boleh bergantung kepada pensijilan semata-mata, sebaliknya perlu disokong penyelidikan dan inovasi berterusan dalam teknologi pemprosesan, pengesanan sumber bahan mentah serta sistem kebolehkesanan produk.

















Sementara itu, Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef yang mewakili Rektor UIAM berkata, kerjasama tersebut memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan gerakan koperasi melalui penyelidikan, pembangunan kapasiti serta perkongsian kepakaran dan teknologi halal.
Beliau berkata, INHART berperanan menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri menerusi penyelidikan, latihan profesional dan khidmat perundingan. Kerjasama itu juga membuka ruang kepada mahasiswa UIAM mengikuti projek pembelajaran dan latihan berasaskan pengalaman bersama ANGKASA, sekali gus mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam persekitaran industri sebenar.
Hadir sama ialah Dekan INHART UIAM, Prof. Dr. Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim; Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIAM, Prof. Madya Dr. Mohd. Hafidz Mahamad Maifiah; Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak dan Pengurus Seksyen Kecemerlangan Koperasi Pusat Kecemerlangan ANGKASA, Safinah Saupi.


