Masjid Al-Hikmah, Kuala Rompin, Pahang melangkah ke arah memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan komuniti apabila Kabin Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad dirasmikan bagi menyediakan ruang perniagaan dan membuka peluang kegiatan ekonomi kepada anggota kariah.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha mewujudkan kabin berkenaan merupakan langkah positif dalam memperluas fungsi masjid yang bukan sahaja menjadi tempat beribadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan ekonomi ummah.
“Penglibatan koperasi dalam menggerakkan aktiviti ekonomi di kawasan masjid membolehkan masyarakat menggembleng modal, tenaga dan kepakaran untuk membangunkan perniagaan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kabin Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad di Masjid Al-Hikmah, Kuala Rompin, Pahang pada 14 November 2026.
Tambahnya, kabin berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui perancangan perniagaan yang baik, pengurusan kewangan teratur serta penawaran produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Katanya, kemudahan itu juga berpotensi menjadi platform pemasaran produk koperasi dan usahawan tempatan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anggota kariah untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi.
Beliau turut menyeru anggota kariah supaya memberikan sokongan dengan mengutamakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan koperasi bagi memastikan manfaat ekonomi yang dijana dapat dikembalikan kepada masyarakat.








































Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan ANGKASA telah menyediakan kabin perniagaan kepada 20 Koperasi Kariah Masjid terpilih di seluruh negara susulan pengumuman peruntukan RM500,000 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menyokong pembangunan koperasi berkenaan ketika Kongres Koperasi Kebangsaan 2024.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 622 Koperasi Kariah Masjid telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 49,684 orang. Gerakan itu merekodkan jumlah syer dan yuran RM16.85 juta, aset RM43.80 juta serta perolehan RM34.82 juta.
Di Pahang, sebanyak 112 Koperasi Kariah Masjid telah ditubuhkan, manakala Kerajaan Negeri turut menyatakan hasrat meningkatkan peruntukan Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang (HIKMAH) daripada RM600,000 pada 2026 kepada RM1 juta bagi 2027. Cadangan itu akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad, Dato’ Wan Kadri Wan Mahusain merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa), khususnya IKMa Zon Timur atas bantuan penyediaan kabin dan bimbingan kepada pihak koperasi.
Beliau berkata, usaha tersebut bukan sekadar menyediakan premis perniagaan, sebaliknya menjadi peluang kepada koperasi untuk mengembangkan potensi perniagaan menerusi ruang operasi yang lebih tersusun, selesa dan mudah diakses oleh ahli kariah serta masyarakat setempat.
Menurutnya, kabin berkenaan diharapkan dapat menjadi pusat aktiviti ekonomi koperasi termasuk menyediakan barangan keperluan harian, menawarkan produk dan perkhidmatan serta menjadi ruang pemasaran produk usahawan dan anggota koperasi.
“Pihak pengurusan komited memastikan operasi kabin dilaksanakan secara sistematik dan profesional, selain memperluas peluang perniagaan serta menggalakkan penglibatan anggota kariah dalam aktiviti koperasi,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan hasrat koperasi untuk memperluas aktiviti perniagaan dalam sektor penyimpanan dan penjualan makanan laut menerusi penyediaan kemudahan bilik sejuk beku yang lebih besar serta sektor pelancongan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Pahang Timur, Tuan Haji Mohd Zahidi Haji Husain; Qadhi Daerah Rompin, Tuan Haji Bunyamin Abdul Ghani; Timbalan Pengarah IKMa Zon Timur, Puan Maryam Hamidah Mohd Ghazi; Wakil SKM Negeri Pahang, Encik Muhammad Anis Rosli dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Encik Mohd Safian Abd Rahman.


