Institusi amal Islam di Malaysia perlu beralih daripada pendekatan bekerja secara berasingan kepada pembentukan ekosistem kerjasama yang lebih tersusun bagi memperluas manfaat kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerjasama antara institusi hal ehwal Islam, agensi kerajaan, gerakan koperasi dan sektor profesional penting bagi membuka ruang perkongsian kepakaran serta penyelarasan tanggungjawab dalam memperkukuh pengurusan institusi amal.
Menurut beliau, kepelbagaian bentuk organisasi dan kerangka perundangan institusi amal memerlukan pendekatan yang mengambil kira struktur serta tanggungjawab masing-masing, bukannya melaksanakan satu kaedah pengurusan yang seragam.
“Ada institusi yang mengurus wakaf, ada yang menjalankan kerja kebajikan melalui pertubuhan atau yayasan, dan ada pula yang digerakkan melalui gerakan koperasi. Setiap satunya mempunyai struktur, tanggungjawab serta peraturan yang perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Institusi Amal Islam (KIAI) 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 19 November 2026.
YB Senator Dr. Zulkifli berkata, penglibatan pelbagai pihak dalam konvensyen itu mampu meneroka pendekatan terbaik bagi memperkukuh tatakelola institusi amal Islam menerusi kerjasama yang saling melengkapi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama berkenaan tidak bermaksud semua institusi perlu diseragamkan, sebaliknya perlu berasaskan kefahaman bersama mengenai standard integriti, pengurusan risiko, pematuhan undang-undang dan kaedah mengukur keberkesanan.
Dalam usaha tersebut, institusi berskala kecil perlu diberikan ruang untuk membina keupayaan manakala institusi yang lebih besar pula diharap dapat menjadi teladan melalui amalan terbaik serta kesediaan berkongsi kepakaran.
Beliau berkata, kekuatan institusi amal bukan hanya bergantung kepada jumlah dana atau keluasan bantuan yang disalurkan, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan organisasi mengurus amanah secara telus dan bertanggungjawab.
Jelasnya, keyakinan masyarakat perlu dibina melalui rekod amanah yang konsisten, pelaporan yang jelas, pengurusan risiko berhemah serta bukti bahawa bantuan yang disalurkan benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan penerima.
Sehubungan itu, setiap institusi perlu memastikan niat baik dalam melaksanakan kerja kebajikan disokong ilmu, kecekapan dan disiplin pengurusan agar tanggungjawab yang dipikul dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dr. Zulkifli berharap KIAI 2026 dapat menghasilkan syor yang jelas, munasabah dan boleh dilaksanakan bersama oleh pihak berkepentingan dengan menghormati bidang kuasa serta tanggungjawab setiap institusi.
Konvensyen bertemakan “Teguh Tatakelola, Teguh Organisasi” itu dianjurkan Bahagian Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Yayasan Infaq ANGKASA (YIA).
Penganjuran tersebut menghimpunkan ketua jabatan dan agensi, ilmuwan, wakil badan kawal selia, penggerak institusi amal serta gerakan koperasi bagi membincangkan usaha memperkukuh tatakelola institusi amal Islam di Malaysia.
Hadir sama dalan majlis tersebut ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIA, Dato’ Haji Ahmad Tajudin Abdul Rahman, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, barisan Naib Presiden ANGKASA, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, barisan Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan barisan Pengurusan Tertinggi ANGKASA.


