HomeUncategorizedKIAI 2026 Himpun Institusi Amal Islam Perkukuh Tadbir Urus, Pembangunan Ummah

KIAI 2026 Himpun Institusi Amal Islam Perkukuh Tadbir Urus, Pembangunan Ummah

Institusi amal Islam bukan sekadar berperanan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam membina kesejahteraan masyarakat melalui pengurusan organisasi yang cekap, telus dan berintegriti.

Keperluan memperkukuh peranan tersebut menjadi tumpuan Konvensyen Institusi Amal Islam (KIAI) 2026 Peringkat Kebangsaan yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor kebajikan dan amal Islam di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 19 November 2026.

Mengangkat tema ‘Teguh Tatakelola, Teguh Organisasi’, konvensyen anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama ANGKASA dan Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) itu menjadi platform perkongsian pandangan serta pengalaman dalam memperkukuh pengurusan institusi amal agar lebih tersusun dan berkesan.

Penekanan terhadap aspek tadbir urus dilihat penting memandangkan institusi amal menguruskan amanah masyarakat yang memerlukan ketelusan dalam setiap aspek, termasuk pengurusan dana, pelaksanaan program serta penyampaian manfaat kepada kumpulan sasaran.

Menerusi sesi perkongsian dan perbincangan yang disediakan, peserta didedahkan kepada amalan terbaik tadbir urus, pendekatan memperkasa institusi serta potensi organisasi amal dalam menyumbang kepada pembangunan ummah.

Pengisian konvensyen merangkumi tiga sesi utama. Sesi pertama bertemakan ‘Impak Amalan Baik Tadbir Urus Terhadap Institusi’ turut membincangkan isu dan cabaran pengurusan institusi amal Islam. Sesi kedua pula memberi tumpuan kepada sesi libat urus bertajuk ‘Arah Tuju Pemerkasaan Tadbir Urus Institusi Amal Islam’ yang menghimpunkan wakil agensi berkaitan untuk membincangkan hala tuju penambahbaikan pengurusan dan kawal selia institusi amal.

Sesi ketiga bertajuk ‘Peranan Institusi Amal Kepada Pembangunan Ummah’ pula membincangkan sumbangan serta potensi institusi berkenaan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

Konvensyen itu turut menampilkan pelancaran Infaq Kontena sebagai antara pengisian program, selain pembentangan resolusi yang diharapkan dapat menjadi panduan kepada institusi terlibat untuk menambah baik pengurusan dan memperluas impak sumbangan mereka.

Dalam ucapan penutup, Presiden ANGKASA merangkap Pengasas YIA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pengurusan dana infaq merupakan satu amanah yang menuntut integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau turut berkongsi perjalanan usaha ANGKASA dalam memperkasa budaya infaq yang bermula menerusi Skim Infaq Lil-Waqf ANGKASA yang dilancarkan pada 15 Ogos 2011 sebelum YIA didaftarkan pada 9 Julai 2021 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258].

“YIA menyediakan saluran kepada individu, koperasi, agensi dan pihak korporat untuk menyalurkan sumbangan bagi menyokong inisiatif dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan kesihatan,” katanya.

Sewaktu ucapan pembukaan, Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman berkata, kepercayaan masyarakat terhadap institusi amal Islam perlu disokong amalan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti.

Menurut beliau, kepercayaan tinggi masyarakat terhadap tokoh agama dan penggerak institusi amal tidak seharusnya menyebabkan aspek pengurusan organisasi dipandang ringan. Sebaliknya, kredibiliti institusi perlu dipelihara menerusi pengurusan profesional supaya keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang tidak terjejas.

Beliau turut menekankan kepentingan memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai instrumen kewangan Islam seperti wakaf, zakat dan infaq serta memastikan dana ummah ditadbir dengan penuh tanggungjawab dan profesional.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIA, Dato’ Haji Ahmad Tajudin Abdul Rahman berkata, kekuatan institusi amal bukan hanya diukur berdasarkan jumlah dana atau program yang dilaksanakan, tetapi turut bergantung kepada kejujuran pengurusan, ketelusan keputusan dan keberkesanan penyampaian manfaat kepada golongan sasaran.

Beliau turut menggariskan keperluan institusi amal Islam beralih daripada pendekatan kerja secara berasingan kepada jaringan kerjasama yang lebih kukuh, di samping mempertingkat perancangan strategik, pengurusan risiko, audit dan pelaporan kewangan yang telus.

Kerjasama antara institusi wakaf, zakat, infaq, koperasi, agensi kerajaan dan sektor swasta juga perlu diperkukuh bagi mengurangkan pertindihan bantuan serta mengoptimumkan kepakaran dan sumber yang tersedia.

Hasil perbincangan konvensyen itu turut membawa kepada enam resolusi yang merangkumi cadangan reformasi undang-undang dan pewujudan akta khusus bagi mengawal selia institusi amal, selain mewajibkan penerbitan laporan prestasi serta audit kewangan tahunan bagi meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan dana awam.

Resolusi berkenaan turut mencadangkan penubuhan institusi latihan khusus untuk memperkukuh kompetensi pemegang amanah dan pengurusan institusi amal serta sebuah agensi berpusat bagi menyelia dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan. Konvensyen juga bersetuju supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Amal Malaysia.

Selain itu, agensi berkaitan disaran membangunkan standard pengurusan khusus yang diiktiraf Jabatan Standard Malaysia, termasuk MS ISO 9001:2015 dan MS 2805 bagi memastikan institusi amal beroperasi secara lebih cekap dan konsisten.

Satu lagi resolusi penting ialah gesaan supaya kerajaan mengiktiraf koperasi sebagai institusi dalam sektor kewangan sosial yang memainkan peranan terhadap pembangunan sosioekonomi negara dan komuniti. Koperasi turut dilihat berpotensi menjadi model kepada institusi amal dalam melaksanakan aktiviti kebajikan secara lebih berstruktur dan berkesan.

Resolusi yang dicapai menerusi KIAI 2026 diharap dapat mendorong institusi amal Islam melakukan penilaian kendiri serta memperkukuh kerjasama antara yayasan, badan wakaf, koperasi dan agensi berkaitan demi manfaat masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ketua Pegawai Eksekutif YIA, Dr. Mohd Azlan Yahya, barisan Naib Presiden ANGKASA, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, barisan Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan barisan Pengurusan Tertinggi ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine