HomeANTARABANGSAKetua Pengarah ICA Teruskan Lawatan Rasmi ke Koperasi NLFCS dan IKMa

Ketua Pengarah ICA Teruskan Lawatan Rasmi ke Koperasi NLFCS dan IKMa

Ketua Pengarah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Mr. Jeroen Douglas meneruskan lawatan rasmi ke dua lagi organisasi anggota ICA, iaitu Koperasi NLFCS Berhad dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) pada 24 November 2026.

Dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, beliau terlebih dahulu mengadakan lawatan ke ANGKASA dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad pada 23 November 2026.

Ketibaan beliau di ibu pejabat Koperasi NLFCS di ibu negara disambut oleh barisan Lembaga Pengarah koperasi berkenaan yang diketuai Pengarah Urusan merangkap Setiausaha, Datuk B. Sahadevan.

Dalam sesi perbincangan bersama koperasi itu, Mr. Jeroen berkongsi pengalaman luas beliau dalam industri komoditi yang diceburi sejak menamatkan pengajian di universiti di Belanda pada tahun 1987. Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat secara langsung dalam sektor minyak sawit, teh dan kopi, khususnya berkaitan pengeluaran serta pengurusan komoditi mentah.

Beliau turut berkongsi penglibatan sebagai pengasas bersama Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pengeluaran minyak sawit mampan. Pengalaman beliau dalam industri minyak sawit turut memberi nilai tambah kepada perkongsian bersama Koperasi NLFCS, yang kegiatan utamanya melibatkan pengeluaran tandan buah segar (TBS).

Pengalaman dalam industri komoditi tersebut turut membentuk misi beliau sejak memegang jawatan dalam ICA, iaitu meneroka peluang untuk memperkukuh penglibatan koperasi dalam rantaian bekalan.

Selain itu, beliau menggalakkan Koperasi NLFCS menyertai The Cooperatives and Mutuals Leadership Circle (CM50), sebuah inisiatif ICA yang menghimpunkan pemimpin koperasi dan organisasi seumpamanya dari seluruh dunia, termasuk ramai pemimpin daripada koperasi yang tersenarai dalam World Cooperative Monitor. Inisiatif tersebut bertujuan memperluas bahagian pasaran koperasi dan organisasi seumpamanya sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 dan seterusnya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi NLFCS, Dato’ S. Kili Rathnaraj dan Pengurus Besar Bahagian Korporat dan Antarabangsa ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim.

Lawatan rasmi Mr. Jeroen diteruskan ke ibu pejabat IKMa di Petaling Jaya di mana beliau mengadakan perbincangan bersama pengurusan IKMa yang diketuai Ketua Pengarahnya merangkap Ahli Lembaga Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Datuk Dr. Mohd Ali Mansor. Turut sama ialah Naib Canselor UKKM, Prof. Dato’ Dr. Azali Mohamed.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Mr. Jeroen memuji usaha IKMa menubuhkan UKKM sebagai langkah penting dalam memperkukuh pendidikan dan pembangunan kepimpinan gerakan koperasi. Beliau menyifatkan IKMa sebagai institusi yang berperanan seperti sebuah kilang pembangunan kepimpinan menerusi usaha melahirkan graduan yang membawa pemikiran dan nilai berkoperasi.

“IKMa boleh dianggap sebagai sebuah kilang pembangunan kepimpinan. Ramai pelajarnya menamatkan pengajian dengan membawa bersama pemikiran dan nilai berkoperasi. IKMa benar-benar menjadi asas kepada pembentukan dunia yang lebih baik kerana Prinsip Kelima Koperasi, iaitu Pendidikan, Latihan dan Maklumat, merupakan antara prinsip teras gerakan koperasi sejak penubuhan The Rochdale Society of Equitable Pioneers pada tahun 1844,” katanya.

“Walaupun Pernyataan Identiti Koperasi telah melalui pelbagai perubahan dan penambahbaikan, pendidikan kekal sebagai teras utama gerakan koperasi,” tambah beliau.

Lawatan rasmi tersebut diharap dapat memperkukuh hubungan antara ICA dengan organisasi anggota di Malaysia, selain membuka ruang kepada peluasan kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan gerakan koperasi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine