Kaum wanita bergelar ibu sekitar perkarangan Pavillion Mall, Bukit Bintang, Kuala Lumpur diraikan dengan 3,000 kuntum bunga oleh Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad sempena Sambutan Hari Ibu pada 10 Mei 2025.
Pengerusi Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd. Alias Hamzah berkata, Mother’s Day Flower Tribute Event anjuran koperasi itu, diadakan bagi menghargai kaum ibu yang mempunyai peranan tersendiri dalam keluarga, komuniti mahupun sosioekonomi selain mendekatkan mereka dengan koperasi.
“Kaum ibu banyak menyumbang dalam meningkatkan ekonomi keluarga, berdikari dalam membina perniagaan koperasi serta memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan yang sempurna demi meningkatkan kesejahteraan keluarga” ujarnya.








Keceriaan di wajah para ibu yang menerima kuntuman bunga ditambah dengan kehadiran lori lutsinar yang dihias dengan paparan Program Mother’s Day Flower Tribute Event.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dato’ Sri Dr Izudin Ishak, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Dato’ Mohd. Fauzi, isteri Presiden ANGKASA, Datin Seri Fauziah Talib, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan barisan Anggota Jawatankuasa Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad.