Thursday, June 19, 2025
HomeANTARABANGSAPresiden ANGKASA Rasmi Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Pertama di Cebu, Filipina

Presiden ANGKASA Rasmi Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Pertama di Cebu, Filipina

Usaha memperluas penubuhan Koperasi Kariah Masjid di peringkat antarabangsa, khususnya di negara berpenduduk majoriti Muslim, terus diperkasa oleh ANGKASA apabila Koperasi Kariah Masjid pertama di Cebu, Filipina berjaya ditubuhkan pada 8 Julai 2024.

Majlis perasmian penubuhan Ummatan Wasathan Halal Consumers Cooperative yang terletak di Pulau Olango, Lapu-Lapu City itu telah disempurnakan oleh Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan turut dihadiri oleh sebahagian komuniti Islam di wilayah berkenaan.

Penubuhan koperasi yang berpusat di Masjid Al-Hidayah, Pulau Olango itu adalah hasil kerjasama erat antara ANGKASA, One Dakwah Foundation, Briged Bakti Malaysia dan Ummah Care Malaysia.

Kewujudan koperasi itu menjadi titik tolak kepada penglibatan lebih aktif komuniti Islam dalam pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam dan mualaf yang dianggarkan berjumlah sekitar 5,000 orang di wilayah tersebut.

Langkah tersebut akan diperluaskan ke seluruh rangkaian masjid dan Pusat Islam yang diselia oleh Briged Bakti Malaysia dan Ummah Care Malaysia dengan sokongan One Dakwah Foundation of Philippines, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Menurut rekod, Briged Bakti Malaysia dan Ummah Care Malaysia merupakan antara NGO yang aktif menyantuni umat Islam di Pulau Cebu, Negros dan Leyte, serta telah menyelia lebih 80 buah masjid dan Pusat Islam sepanjang sedekad lalu.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Presiden Briged Bakti Malaysia, Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik, Presiden Ummah Care Malaysia merangkap Naib Presiden Briged Bakti Malaysia, Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria, Ketua Bahagian National Council on Muslim Filipino (NCMF), Mr. Almojin D. Pandapatan, Setiausaha Cebu Care Society merangkap Pengurus Masjid Al-Hidayah, Tuan Haji Kamal, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine