Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITILatihan ‘Fire Drill’ Tingkat Tahap Kesiapsiagaan Warga ANGKASA Hadapi Kecemasan

Latihan ‘Fire Drill’ Tingkat Tahap Kesiapsiagaan Warga ANGKASA Hadapi Kecemasan

Keselamatan warga kerja terus menjadi keutamaan ANGKASA apabila organisasi itu melaksanakan latihan kebakaran (Fire Drill) melibatkan seluruh kakitangannya, hari ini sebagai langkah proaktif memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kecemasan di tempat kerja.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, latihan berkenaan penting bagi memastikan setiap warga organisasi sentiasa bersedia dan mampu bertindak pantas sekiranya berlaku kebakaran atau insiden kecemasan di premis ANGKASA.

Menurut beliau, latihan itu turut memberi peluang kepada Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) ANGKASA untuk menguji keupayaan bertindak awal, termasuk usaha pemadaman api peringkat awal serta pemberian bantuan kecemasan kepada kakitangan yang tercedera.

“Pengurusan senario kecemasan yang cekap dapat mengurangkan kerugian harta benda serta trauma kecederaan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat atau pasukan kecemasan lain,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang berlangsung di ibu pejabat ANGKASA pada 28 Januari 2026.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Tuan Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman atas kerjasama dan komitmen mereka dalam menjayakan latihan tersebut.

Selain itu, katanya, ilmu serta kemahiran yang diperoleh menerusi kursus dan latihan keselamatan sebelum ini bukan sahaja berguna di pejabat, malah boleh diaplikasikan di rumah atau di mana-mana sahaja sekiranya berlaku kecemasan.

“Sebagai contoh, pengetahuan penggunaan alat pemadam api yang betul, termasuk demonstrasi yang diadakan hari ini, amat penting supaya setiap kakitangan tahu kaedah yang selamat dan berkesan,” katanya.

Tuan Syed Shahril Anuar dalam ucapannya memuji warga kerja ANGKASA sebagai organisasi terbaik yang pernah menyertai latihan Fire Drill bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dari segi persediaan, komitmen dan semangat kejasama.

Latihan tersebut mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, teratur dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine