ASEAN Co-operative Organization (ACO) menyasarkan agar agenda pembangunan gerakan koperasi dibincangkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung di Manila, Filipina pada Oktober ini, susulan pengiktirafan organisasi itu sebagai ASEAN Associate Civil Society Organisation oleh Sekretariat ASEAN.
Presiden ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pengiktirafan yang diterima pada 2 April lalu merupakan satu pencapaian penting kerana buat pertama kalinya ACO diiktiraf secara rasmi sebagai wakil gerakan koperasi di peringkat ASEAN.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pengiktirafan simbolik, sebaliknya membuka ruang kepada ACO untuk memainkan peranan yang lebih strategik dalam mempengaruhi dasar serta memperjuangkan kepentingan gerakan koperasi di peringkat serantau.
“Filipina selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2026 mempunyai kedudukan yang strategik untuk membawa agenda ini ke peringkat tertinggi. Justeru, kita perlu memanfaatkan peluang tersebut bagi memastikan suara gerakan koperasi dibincangkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila.
Kita juga berharap mendapat jemputan rasmi ke sidang kemuncak itu supaya pemimpin negara-negara ASEAN dapat melihat sendiri bahawa koperasi merupakan antara komponen penting dalam seni bina ekonomi ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Meja Bulat Strategik Koperasi ASEAN 2026 (ACSR 2026) yang berlangsung secara dalam talian hari ini (1 Julai 2026).
Bagi merealisasikan hasrat itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah mencadangkan agar Philippine Cooperative Centre (PCC), National Union of Co-operatives (NUC) dan ACO membentuk satu pasukan tindakan bersama bagi menyelaras usaha membawa agenda koperasi ke Sidang Kemuncak ASEAN.
Katanya, kerjasama itu perlu memanfaatkan hubungan strategik PCC dan NUC dengan kerajaan Filipina, khususnya melalui Department of Trade and Industry (DTI) serta Cooperative Development Authority (CDA), bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan tersebut.
Beliau berkata, cadangan yang akan dikemukakan kepada pemimpin ASEAN adalah berasaskan empat resolusi utama yang dipersetujui pada ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025). Resolusi tersebut merangkumi pembangunan ekonomi berteraskan kemanusiaan, penubuhan ASEAN Co-operative Management and Leadership Institute (ACMAL) serta cadangan penubuhan kementerian khusus yang bertanggungjawab terhadap pembangunan koperasi di setiap negara anggota ASEAN.
Selain itu, ACO turut menyasarkan akses yang lebih luas kepada saluran dasar dan pembiayaan ASEAN bagi membolehkan gerakan koperasi mengemukakan cadangan dasar secara rasmi kepada platform pegawai kanan ASEAN. Menurut beliau, status ACO sebagai ASEAN Associate Civil Society Organisation turut melayakkan organisasi itu mengakses dana di bawah tiga tonggak utama ASEAN, iaitu Ekonomi, Sosio-Budaya serta Politik-Keselamatan.
Beliau berkata, pembiayaan tersebut boleh dimanfaatkan bagi membangunkan sistem perdagangan rentas sempadan, pendigitalan pendaftaran koperasi serta pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti yang memberi manfaat kepada gerakan koperasi di seluruh rantau ASEAN.
Turut menyertai meja bulat tersebut ialah Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi CDA, Undersecretary Alexander B. Raquepo, Pengerusi PCC, Mr. Isagani B. Daba serta Pengerusi NUC, Father Anton C.T. Pascual.












