Koperasi perlu berani meneroka peluang perniagaan baharu, mengadaptasi perubahan landskap ekonomi serta memanfaatkan teknologi bagi memastikan kelangsungan dan daya saing organisasi pada masa hadapan. Perkara itu ditegaskan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 Koperasi Panel Kesihatan Selangor Berhad di Kelab Shah Alam, Selangor hari ini (28 Jun 2026).
Dalam ucapannya, beliau memuji komitmen kepimpinan dan anggota koperasi yang ditubuhkan pada tahun 2014 itu kerana terus berusaha memperkukuh kebajikan anggota melalui pelbagai aktiviti ekonomi. Menurut beliau, penubuhan koperasi yang dianggotai oleh Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Selangor membuktikan warga kesihatan bukan sahaja komited memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, malah turut mengambil inisiatif meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota melalui gerakan koperasi.
Beliau berkata, usaha koperasi mempelbagaikan sumber pendapatan melalui aktiviti pembekalan kepada institusi kesihatan serta penerokaan sektor pertanian dan perkhidmatan merupakan langkah strategik yang wajar dicontohi. Antara projek yang pernah dilaksanakan termasuk pengusahaan ladang ubi kayu di Hulu Selangor dan penyediaan perkhidmatan dobi untuk hospital serta hotel, sekali gus memperlihatkan keberanian koperasi meneroka bidang di luar kepakaran asal demi menjana pendapatan yang lebih mampan.
Mengulas mengenai perancangan masa depan koperasi, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata cadangan pembangunan Medical Eco Tourism melalui kerjasama Malaysia-Indonesia serta penerokaan kerjasama dalam bidang terapi sel stem bersama pusat perubatan di Thailand menunjukkan kesediaan koperasi bergerak seiring dengan perkembangan industri kesihatan. Beliau menegaskan koperasi perlu sentiasa berfikiran terbuka, berinovasi dan membina jaringan strategik bagi merebut peluang pertumbuhan baharu.
Menurut beliau lagi, setiap pengalaman yang dilalui, sama ada berjaya atau sebaliknya, perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh strategi organisasi. Dengan sokongan padu anggota dan tadbir urus yang baik, beliau yakin Koperasi Panel Kesihatan Selangor Berhad mampu muncul sebagai antara koperasi contoh dalam sektor kesihatan serta menjadi inspirasi kepada koperasi lain di negara ini.
Pada masa sama, beliau menyeru semua anggota supaya melihat koperasi sebagai platform memperkukuh taraf ekonomi dan kesejahteraan bersama. Katanya, kekuatan sebenar koperasi bergantung kepada penglibatan aktif anggota melalui sumbangan idea, sokongan terhadap aktiviti serta penggunaan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh koperasi.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Panel Kesihatan Selangor Berhad, Datuk Dr. J Kanann @Ramasamy A/L Raman dalam ucapan aluannya berkata mesyuarat agung tahunan menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama anggota serta merancang hala tuju koperasi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden ANGKASA atas kesudian merasmikan mesyuarat itu dan berharap sokongan berterusan semua anggota akan terus memacu kemajuan koperasi.



























