ANGKASA yakin gerakan koperasi negara mampu mencapai perolehan sekurang-kurangnya RM80 bilion tahun ini berdasarkan tren pertumbuhan ekonomi yang sangat ketara.
Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, perolehan koperasi telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh enam bulan tahun lalu iaitu daripada RM33.05 bilion pada Jun 2024 kepada RM68.1 bilion pada Disember 2024.
Pertumbuhan pesat itu secara tidak langsung juga membuktikan bahawa sektor koperasi juga mampu memberikan lonjakan ekonomi dengan pantas dan konsisten pada skala nasional.
“Statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Jun 2025 merekodkan sebanyak 16,342 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 7.4 juta orang. Modal syer terkumpul pula mencecah RM18.48 bilion, aset RM268 bilion dan perolehan RM40.4 bilion bagi tempoh pertengahan tahun.
Pencapaian perolehan gerakan koperasi sebenarnya telah jauh mengatasi sasaran kerajaan yang menetapkan RM60 bilion menjelang 2025 kerana angka itu telah pun dilepasi lebih awal apabila koperasi mencapai RM64 bilion pada tahun 2023.
Bagi Selangor pula, data sehingga Jun 2025 merekodkan 2,187 koperasi berdaftar melibatkan keanggotaan 648,734 orang dengan modal syer RM795.51 juta, aset RM2.5 bilion dan perolehan RM653.23 juta. Sumbangan ini menjadikan Selangor antara penyumbang utama kepada kekuatan angka nasional”, jelas beliau.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Induksi Koperasi Anggota Baharu ANGKASA Negeri Selangor 2025 di Petaling Jaya pada 10 Disember 2025.
Seramai 51 peserta daripada 35 buah koperasi hadir dalam kursus selama dua hari itu bagi mengenali peranan ANGKASA secara lebih dekat serta peluang-peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan.











Tambah Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, dalam menghadapi era globalisasi dan perubahan pesat transformasi digital, koperasi perlu menetapkan sektor tumpuan dengan lebih jelas sama ada dalam sektor makanan, logistik, digital, pertanian moden, perkhidmatan kewangan atau pembangunan komuniti. Pendekatan yang terarah katanya penting untuk memastikan koperasi mampu mengekalkan daya saing serta menembusi pasaran baharu.
“Koperasi juga harus peka terhadap perkembangan ekonomi makro dan mikro termasuk indikator yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan. Analisis terhadap data-data ini menurutnya menjadi asas kepada keputusan perniagaan yang strategik serta mampu memberi impak langsung kepada kemajuan koperasi,” katanya.
Beliau turut menyorot kejayaan beberapa koperasi di Selangor termasuk projek ternakan 100,000 ekor ikan tilapia oleh Koperasi Ekanz Agrotech Selangor Berhad yang boleh dijadikan model pembangunan agro makanan. Penglibatan koperasi dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) juga disifatkan memberi manfaat berskala besar kepada masyarakat dan koperasi kecil.
“Bagi koperasi baharu atau yang masih berada pada tahap awal pembangunan, bolehlah membuat permohonan kemudahan Tabung Modal Pusingan (TMP) di bawah SKM. Koperasi yang beraspirasi untuk berkembang lebih jauh pula digalakkan menjadi ahli kepada Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA (KOPSYA), khususnya koperasi kecil seperti koperasi keluarga dan koperasi kariah masjid yang memerlukan fasiliti pembiayaan lebih mampan,” tegasnya.
Beliau juga menyeru agar semua peserta memanfaatkan ilmu dan rangkaian kerjasama yang diperoleh demi memperkukuhkan koperasi masing-masing sekali gus meningkatkan perolehan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad dan Pengurus Besar Bahagian Perdagangan Komersial ANGKASA, Dr. Haji Abdul Rahim Abdul Rahman.



