ANGKASA sedia membantu Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berjaya dalam aktiviti perniagaan melalui penglibatan dalam koperasi.
Menerusinya, anggota arau golongan pesara yang terlibat berpeluang untuk mengeluarkan produk jenama mereka sendiri bagi menambah pendapatan sekali gus meningkatkan produktiviti dan taraf ekonomi anggota.
Demikian ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap dalam Program CSR ANGKASA bersama Persatuan Veteran ATM Cawangan Tangga Batu, Melaka, di Surau Haji Abdul Rahman Haji Shahbudin, Bukit Darat, Tanjung Kling, Melaka pada 15 Oktober 2025
Katanya, antara bentuk bantuan yang diberikan adalah dari segi nasihat dan bimbingan dalam menambahkan pendapatan selain memperkukuh aspek ekonomi serta kebajikan anggotanya.
Menurutnya lagi, program tanggungjawab sosial koperasi merupakan satu bentuk inisiatif ANGKASA terhadap kesejahteraan golongan veteran yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara.
“Saya difahamkan sumbangan hari ini diberikan kepada balu veteran warga veteran ATM dan seramai 54 penerima menerima barangan keperluan asas bernilai RM50 setiap seorang yang disalurkan melalui rangkaian pembekalan Projek BA100.
Projek BA100 ini diwujudkan sebagai platform pembekalan barangan asas koperasi bagi memperkukuh daya saing kedai koperasi”, ujar beliau.
Sebagai rekod, sehingga Disember 2024, sebanyak 16,284 koperasi telah berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang, syer atau yuran sebanyak RM18.3 bilion, aset sebanyak RM173.3 bilion dan perolehan sehingga RM68.2 bilion.
Bagi golongan pesara, terdapat 173 buah koperasi telah didaftarkan dengan keanggotaan seramai 19,065 individu, syer atau yuran sebanyak RM11.2 juta, aset sebanyak RM60.84 juta dan perolehan dicatatkan sebanyak RM12.99 juta.
“Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar Persatuan Veteran ATM Cawangan Tangga Batu mempertimbangkan penubuhan koperasi sendiri di peringkat cawangan.
Koperasi veteran juga boleh menjadi instrumen memperkukuh kebajikan sosial, mewujudkan peluang pekerjaan serta membantu ahli keluarga veteran melalui aktiti ekonomi yang mampan. Saya percaya koperasi yang digerakkan oleh veteran ATM di seluruh negara mampu menjadi satu ekosistem ekonomi sosial yang kuat dengan bimbingan berterusan serta berkembang dalam bidang strategik seperti pertanian moden, logistik, makanan dan perkhidmatan komuniti.”ujarnya lagi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Kamaruddin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Tuan Haji Zaidan Abdul Hadi, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim, Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM Tangga Batu, Melaka, Encik Mohd Yusri Rojan, Timbalan Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM Tangga Batu Melaka, Encik Amran Mohamad dan Pengerusi Surau Haji Abdul Rahman, Encik Rashid Abdullah.




















