Saturday, November 15, 2025
HomeAGENSIWomen Coop Fest 2025: Manifestasi Pemerkasaan Koperasi Wanita

Women Coop Fest 2025: Manifestasi Pemerkasaan Koperasi Wanita

Pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan, ekonomi dan kepimpinan koperasi menjadi landasan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Usaha  tersebut juga seiring dengan agenda Kerajaan untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai enjin ketiga ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Noor Afifah Abdul Razak berkata, penganjuran Women Coop Fest 2025 (WCF 2025) oleh Konsortium Koperasi Wanita Malaysia Berhad (KOWIMA) merupakan manifestasi jelas komitmen gerakan koperasi wanita dalam memperkasa peranan kaum hawa sebagai ejen pembangunan ekonomi negara.

“KOWIMA sebagai sebuah koperasi menengah wanita yang aktif dan progresif telah berjaya menghimpunkan koperasi dan usahawan wanita dari pelbagai sektor perkhidmatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini membuktikan gerakan koperasi mampu menjadi platform unggul dalam pembangunan sosioekonomi wanita secara menyeluruh.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Women Coop Fest 2025 di Sunken Garden, MyTown Shopping Center, Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2025.

Tambahnya, sehingga kini terdapat 274 koperasi wanita dengan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM16.2 juta di seluruh Malaysia. Data ini jelas menunjukkan peluang besar untuk sektor koperasi wanita terus berkembang dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Peranan wanita hari ini bukan sekadar dalam pengurusan rumah tangga. Mereka juga memainkan peranan signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, SKM komited untuk terus menyokong pembangunan koperasi wanita melalui program latihan, pembiayaan, geran serta kerjasama strategik bersama agensi dan pihak industri,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar WCF 2025 dijadikan titik permulaan baharu kepada gerakan koperasi wanita di Malaysia. “Saya berharap koperasi wanita terus menjadi agen reformasi dalam komuniti bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga sosial dan pendidikan sejajar dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran WCF 2025 amat bermakna kerana ia merupakan simbol pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam aspek pemerkasaan ekonomi dan sosial. Ia juga adalah platform bagi memperluas jaringan perniagaan, meningkatkan kapasiti kepimpinan dan memperkasa keusahawanan berasaskan koperasi di seluruh negara.

“WCF 2025 turut memainkan peranan penting dalam tiga aspek utama: Pertama, sebagai platform untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan koperasi wanita kepada masyarakat, sekaligus membuka ruang pasaran baharu dan meningkatkan keyakinan terhadap jenama koperasi wanita. Kedua, ia menjadi ruang jaringan dan kolaborasi antara koperasi wanita, agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti tempatan bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan dan peluang perniagaan. Ketiga, penganjuran ini turut menyokong agenda pemerkasaan ekonomi MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan, keadilan sosial dan pembangunan ekonomi inklusif,” katanya.

Pengerusi KOWIMA, Hajah Rozilah Mohamad Tahir pula berkata, WCF 2025 memberi fokus kepada memupuk kepimpinan dan meningkatkan kapasiti koperator wanita agar terus relevan di masa ini dan memberi peluang kepada koperasi wanita untuk mempromosi produk dan perkhidmatan kepada pasaran lebih luas.

Katanya, KOWIMA yang kini terdiri daripada 22 buah koperasi wanita seluruh negara juga sedang giat mempromosi dan menarik minat lebih banyak koperasi wanita untuk menyertai konsortium tersebut.

WCF 2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 36 pempamer terdiri daripada koperasi dan usahawan wanita yang menampilkan pelbagai produk serta perkhidmatan tempatan selama empat hari bermula 16 Oktober sehingga 19 Oktober 2025. Festival tersebut turut menampilkan pengisian padat termasuk pameran produk, bicara ilmu, pengisian rohani serta pelbagai pertandingan menarik dan kreatif yang diharap dapat menarik minat golongan muda dan komuniti setempat terhadap dunia koperasi.

Turut berlangsung ialah sesi pertukaran dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara KOWIMA dengan empat buah syarikat iaitu GWE Foodpack Sdn. Bhd., Keris Energy Sdn. Bhd., Lytron E Bike dan Ryang Sdn. Bhd.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Haji Fadilah Salim, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine