ANGKASA menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Pasaman Barat dan Agam, Sumatera Barat, Indonesia dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di pejabat Bupati Pasaman Barat pada 8 Mei 2026.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail yang mewakili Presiden ANGKASA dan diterima oleh Bupati Pasaman Barat, Bapak Haji Yulianto S.H., M.M.
Dalam ucapannya, Dato’ Haji Kamarudin melahirkan rasa syukur kerana bantuan tersebut akhirnya dapat direalisasikan selepas tertangguh selama beberapa bulan disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkan.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan ANGKASA berjumlah RM3,000 kepada Masjid Agung Pasaman Barat sebagai dorongan awal bagi menggerakkan aktiviti ekonomi menerusi koperasi masjid.
Menurut beliau, ANGKASA sedia menjalin kerjasama dalam aspek perniagaan dengan sokongan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi koperasi kariah masjid dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Kepala Kantor Kementerian Agama Kabupaten Pasaman Barat, Bapak Rali Tasman, Pengurus Hubungan Masyarakat BAZNAS, Tuan Haji Yudhi Arma M.K, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Safian Abdul Rahman serta Pengurus Masjid Agung Pasaman Barat, Ustaz Agus.
















