Dunia kini berhadapan cabaran iklim yang semakin sukar diramal, justeru menuntut pendekatan kolektif dan mampan. Dalam landskap ini, koperasi yang bertunjangkan semangat kerjasama perlu berperanan sebagai pemangkin penting dalam membina ketahanan iklim di peringkat global.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ASEAN memerlukan sebuah platform koperasi serantau yang bersatu bagi menghadapi cabaran iklim secara lebih berkesan.
“Kita mewakili 12 peratus populasi dunia. Di ASEAN sahaja, terdapat lebih 66.6 juta anggota koperasi daripada 347,599 koperasi. Ini bukan angka kecil,” katanya sambil menegaskan bahawa kekuatan jumlah itu memberi kelebihan strategik kepada koperasi untuk menerajui agenda ketahanan iklim di rantau tersebut.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Sidang Kemuncak Iklim Koperasi Global Ke-2 di Kuala Lumpur pada 1 Disember 2025. Program itu dianjurkan CLIMBS Life and General Insurance Cooperative (CLIMBS) dengan kerjasama Co-operative College of the Philippines (CCPH).
Beliau yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) serta Presiden ASEAN Co-operative Organization berkata, CLIMBS menunjukkan kepimpinan jelas dalam melindungi komuniti akar umbi.
Langkah koperasi itu membangunkan sendiri skim insurans untuk golongan berpendapatan rendah di Filipina tanpa bergantung kepada syarikat insurans komersial menjadi model yang wajar diperluaskan di seluruh Asia.
Tambahnya, gerakan koperasi bagaimanapun tidak boleh mengabaikan jurang kritikal yang masih membantutkan keupayaan sektor itu memainkan peranan lebih besar dalam agenda iklim.
Antaranya termasuk jurang pembiayaan apabila dana iklim global sukar diakses oleh koperasi komuniti, jurang data yang menyukarkan peramalan risiko terutama bagi petani kecil serta jurang dasar apabila koperasi sering diketepikan daripada pelan iklim kebangsaan.
Terdahulu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CLIMBS, Mr. Noel D. Raboy berkata, sambutan Tahun Antarabangsa Koperasi (IYC2025) mengingatkan gerakan koperasi terhadap kekuatan, tujuan dan tanggungjawab yang dipikul, iaitu bukan sahaja dalam berkhidmat kepada komuniti hari ini, malah juga dalam melindungi generasi akan datang.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama sentiasa menjadi kekuatan utama gerakan koperasi dan ketika krisis iklim semakin meruncing, kerjasama tersebut kini menjadi alat penting dalam membina ketahanan.
Beliau turut menekankan bahawa gerakan koperasi memiliki rangkaian akar umbi yang luas serta keupayaan mobilisasi komuniti yang tidak dimiliki oleh banyak sektor lain, menjadikan koperasi antara pelaksana paling berkesan dalam menggerakkan tindakan iklim berskala besar di peringkat tempatan mahupun serantau.
Sidang Kemuncak Iklim Koperasi Global Ke-2 yang bertemakan ‘People, Planet, Purpose’ itu menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk pemimpin industri, aktivis iklim, koperator serta peneraju inovasi di seluruh Filipina bagi membincangkan penyelesaian bersama terhadap cabaran iklim di peringkat global.
Turut berlangsung ialah sesi pleno yang memfokuskan kepada ‘Memperkasakan Komuniti untuk Ketahanan Iklim’ yang menampilkan Pensyarah Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Nizam Mohd Said, CEO AgriCOOPh, Mr. Jose Romeo Ebron dan Penyelaras Serantau Asia-India, Microinsurance Network, Ms. Aditi Singh.
Hadir sama ialah CEO CCPH, Ms. Donna Dizon dan Pengarah Eksekutif Pengasas merangkap Penasihat Strategik Utama Young Environmental Forum, Mr. Ludwig O. Federigan.



















































