Kontinjen ANGKASA dengan kekuatan seramai 81 anggota tampil bersemangat membawa nama ANGKASA dan gerakan koperasi dalam perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025.
Seramai 68 warga ANGKASA termasuk subsidiari, enam kakitangan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta tujuh anggota Koperasi Sukarelawan Rakyat Selangor Berhad menyertai kontinjen itu yang diselaraskan oleh Bahagian Korporat ANGKASA (BKA).
Kontinjen tersebut diketuai Pengurus Besar BKA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim serta dibantu oleh Pengurus Besar Bahagian Wanita, Komuniti dan Pengurusan Hartanah ANGKASA, Ir. Ts. Mohd Ramli Parman sebagai komander perbarisan.
Sambutan kali ini turut mencatat sejarah apabila buat julung kali maskot rasmi ANGKASA, ‘BeeRo’, diperkenalkan. ‘BeeRo’ dipilih sebagai penghargaan kepada Biro Potongan Gaji ANGKASA yang diwujudkan sejak 1977 dan kekal sebagai perkhidmatan utama ANGKASA sehingga kini. Pemilihan lebah sebagai maskot melambangkan semangat ‘Bekerja bersama-sama demi manfaat bersama’ selain mencerminkan nilai kolaborasi dan kesepakatan pasukan.
Selain membawa bendera ANGKASA dan Coop, kontinjen segak berbaju batik rasmi ANGKASA berwarna biru turut mengibarkan bendera Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) bersempena pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi. Pengiktirafan PBB itu menjadikan 2025 sebagai kali kedua dalam sejarah diisytiharkan sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa selepas kali pertama pada 2012.
ANGKASA merupakan antara sembilan badan berkanun dan agensi kerajaan yang menyertai perbarisan di bawah kluster Kesejahteraan Sosial dan Rakyat. Kluster tersebut adalah sebahagian daripada kontinjen Ekonomi dan Swasta yang melibatkan 41 syarikat dengan penyertaan seramai 2,397 peserta. Turut berbaris dalam kluster sama adalah Pelaburan Nasional Berhad (PNB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Tabung Haji dan Khazanah Nasional Berhad.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut hadir bagi memberi semangat kepada kontinjen tersebut. Beliau berkata bahawa penyertaan itu bukan sahaja membawa nama ANGKASA, malah juga lebih 7 juta anggota koperasi di seluruh negara yang sentiasa mendokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan komitmen dan persembahan yang ditonjolkan oleh kontinjen ANGKASA.
Penyertaan kontinjen itu melambangkan kekuatan gerakan koperasi dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara di samping menzahirkan peranan koperasi sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkasa komuniti serta mendukung agenda Malaysia MADANI.
Seiring pengisytiharan IYC2025, penyertaan tersebut turut menjadi simbol kesatuan dan komitmen koperasi terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tersebut secara keseluruhannya menyaksikan sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta mengambil bahagian yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam.






















