Wednesday, May 13, 2026
HomeAKTIVITIMBSB, Muara Canggih Meterai MoU Projek Pembangunan di Terengganu

MBSB, Muara Canggih Meterai MoU Projek Pembangunan di Terengganu

Anak syarikat ANGKASA, MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. (MBSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Muara Canggih Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek pembangunan bercampur di Mukim Kuala Paka, Dungun, Terengganu sebagai langkah strategik ke arah merealisasikan kerjasama pembangunan yang berpotensi besar dari segi ekonomi dan sosial.

Pemeteraian MoU tersebut berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 6 Mei 2026 dan ditandatangani oleh Pengerusi MBSB merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa serta Pengerusi Muara Canggih, Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Projek pembangunan bercampur tersebut merangkumi komponen kediaman mampu milik, kediaman bertingkat serta elemen komersial yang dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan sektor hartanah di kawasan berkenaan.

Di bawah kerangka kerjasama yang dipersetujui, Muara Canggih akan bertindak sebagai pemaju projek selaku pemegang kepentingan tanah serta pihak yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan pembangunan.

Sementara itu, MBSB akan berperanan sebagai kontraktor utama dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek termasuk memastikan setiap komponen pembinaan diselaraskan secara cekap, dikawal rapi serta disiapkan mengikut piawaian yang ditetapkan. Selain itu, MBSB turut menyokong aspek pemasaran dan jualan bagi memastikan projek tersebut mendapat sambutan yang baik dalam pasaran.

Projek tersebut turut melibatkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), sebuah entiti berkaitan Kerajaan Negeri yang memainkan peranan penting dalam pengurusan aset strategik negeri. Penglibatan LTAWNT menuntut tahap pematuhan, penyelarasan dan disiplin pelaksanaan yang tinggi bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Dari sudut komersial, projek berkenaan dilihat mempunyai asas pembangunan yang kukuh berdasarkan penilaian awal yang dijalankan. Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek dianggarkan berjumlah RM159.835 juta, manakala Kos Pembangunan Kasar (GDC) pula sekitar RM130.530 juta.

Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Bina merangkap Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty, barisan Lembaga Pengarah Muara Canggih serta barisan pengurusan kanan MyANGKASA Bina yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Azrul Hisyam Munap.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine