Saturday, November 15, 2025
HomeAKTIVITIPenubuhan KPPMB Pacu Revolusi Ekonomi Koperasi Negara

Penubuhan KPPMB Pacu Revolusi Ekonomi Koperasi Negara

Penubuhan Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad (KPPMB) disifatkan sebagai langkah strategik untuk melonjakkan sektor koperasi ke tahap lebih tinggi dengan menjadikannya pemain utama dalam bidang perdagangan dan perindustrian negara.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, KPPMB akan berfungsi sebagai platform penyatuan kepakaran usahawan koperasi dari pelbagai sektor bagi membentuk ekosistem ekonomi yang lebih tersusun, berdaya saing dan inklusif.

“Kewujudan KPPMB memperkukuh kedudukan sektor koperasi sebagai pemacu pertumbuhan baharu ekonomi rakyat serta mengukuhkan peranan gerakan koperasi dalam arus pembangunan nasional.”

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad (KPPMB) yang berlangsung di Menara BAC, Petaling Jaya pada 28 Oktober 2025.

Beliau juga memuji komitmen KPPMB dalam memperkasakan ekosistem koperasi melalui kolaborasi, inovasi dan digitalisasi sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan dan kesejahteraan bersama.

“Melalui inisiatif ini, koperasi dijangka dapat memperluas penyertaan dalam rantaian nilai ekonomi daripada pengeluaran, pemprosesan, logistik hingga ke eksport sekali gus membina kekuatan ekonomi kolektif yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau turut menekankan potensi besar sektor halal sebagai bidang baharu yang mampu diterokai koperasi tempatan, sambil mendedahkan KPPMB telah memulakan rundingan dengan Sekretariat Majlis Halal Malaysia untuk memperluas peluang dalam perdagangan produk halal rentas sempadan.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja mampu memperkukuh jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa, malah menjadikan koperasi Malaysia sebagai pemain utama dalam ekosistem halal global melalui rangkaian perniagaan koperasi-ke-koperasi (C2C) di rantau ASEAN.

Dalam konteks serantau, beliau memaklumkan bahawa ANGKASA menerusi ASEAN Co-operative Organization (ACO) terus memperkukuh jaringan koperasi antara negara ASEAN yang kini melibatkan lebih 300,000 koperasi dan 65 juta anggota.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga menzahirkan keyakinan bahawa KPPMB akan menjadi pencetus kepada gelombang baharu perdagangan koperasi negara serta menjadi model rujukan dalam aspek pengurusan, inovasi dan pematuhan standard antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi KPPMB merangkap Pengerusi ANGKASA Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dalam ucapan aluannya berkata, koperasi kini perlu beranjak daripada model sosial tradisional kepada entiti ekonomi strategik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Empat teras utama pembangunan KPPMB ialah inovasi digital serta teknologi industri baharu melalui pendigitalan tadbir urus dan pemerkasaan e-dagang antara koperasi, pembangunan industri dan perdagangan strategik termasuk penglibatan terarah dalam segmen automotif, kewangan, logistik dan teknologi, pembentukan hab perdagangan antarabangsa dengan fokus ekonomi halal dan peluasan jaringan global serta kolaborasi korporat untuk akses pasaran, pembiayaan dan pemindahan kepakaran.

Tambahnya, KPPMB juga sedang menyusun kolaborasi bersama agensi halal Malaysia dan pihak berkuasa tempatan di Yunnan dan Hebei untuk membangunkan Pusat Persijilan Halal Malaysia Antarabangsa berasaskan piawaian JAKIM yang dilaksana secara koperatif.

“Langkah ini membuka laluan lebih luas kepada usahawan dan produk Malaysia menembusi pasaran global bernilai trilion dolar tanpa menjejaskan integriti piawaian negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan program pelaksanaan awal merangkumi sesi padanan niaga berskala sektor, latihan keusahawanan dengan modul pematuhan halal dan kualiti serta sokongan dokumentasi bagi mempercepat kitaran pensijilan. Di peringkat rantaian bekalan, KPPMB akan menyelaras pembelian pukal terpilih, pemetaan kapasiti pengeluaran anggota dan penggunaan platform digital untuk ketelusan harga serta jejak audit.

“Dari sudut pasaran, KPPMB menilai penubuhan rangkaian peruncitan koperasi secara hibrid yang menggabungkan gerai fizikal terpilih dan kedai dalam talian untuk produk koperasi berkeutamaan halal, makanan dan minuman, automotif selepas jualan serta perkhidmatan gaya hidup. Model ini disokong pemadanan promosi merentas rakan MoU bagi mempercepat penembusan jenama dan volum jualan,” jelasnya.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian sembilan Perjanjian Persefahaman (MoU) KPPMB bersama rakan strategik termasuk KAKI Group, Elite Wealth Group Advisory, Backrock IMS, Superlux Auto, Genstar Global, Nix Frontier, B Media Publishing, Pertubuhan Interaksi Budaya dan Dagang Antarabangsa Malaysia-China serta TCC Capital. Kerjasama itu meliputi bidang pelaburan strategik, automotif, teknologi, media, perdagangan antarabangsa serta hubungan budaya dua hala.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penasihat KPPMB, Tan Sri Dato’ Sri Ong Tee Keat, Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Mohd Syukri Abdul Majid, Mantan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Haji Mohd Yahya Haji Mat Sahri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine