Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) yang dimulakan kerajaan sejak tahun lepas ternyata telah memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud yang memilih Kampung Kenangan, Lanchang, Pahang sebagai kampung angkatnya, sejak majlis perasmian Santuni MADANI di situ pada Disember lepas, pelbagai kejayaan telah dikecapi menerusi kerjasama dengan agensi dan syarikat swasta.
“Antaranya adalah program tanggungjawab sosial (CSR) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang telah memperuntukkan RM49,600 untuk kerja-kerja pembaikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman yang melibatkan penduduk tempatan sebagai kontraktor projek.
Selain itu, di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang diselaraskan ANGKASA, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan kepada Koperasi SMK Datuk Bahaman Berhad untuk Projek Tanaman Cendawan.
Kedua-dua projek itu telah membuahkan hasil dan kerja pembaikan SMK Datuk Bahaman yang bermula pada April 2025 telah siap sepenuhnya selain Projek Tanaman Cendawan juga telah mengeluarkan hasil,” katanya sewaktu merasmikan Program Santuni MADANI KUSKOP Lanchang, Pahang Tahun 2025 di Lanchang, Pahang pada 14 Jun 2025.






Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak SME Bank di bawah Inisiatif Prihatin Sejahtera di Lanchang pada hari tersebut sekali gus memberi manfaat kepada 100 pelajar dari keluarga Asnaf dan B40 di sembilan sekolah sekitar, dengan sumbangan kewangan berjumlah RM20,000.
“Apa yang kami bawa hari ini adalah iltizam KUSKOP dalam memberikan perkhidmatan sosial kepada masyarakat. Kita mahu melihat pembangunan tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar, tapi juga ke kampung dan sekolah pedalaman di bawah Malaysia MADANI dan semangat saling membantu sesama kita, supaya semua kelompok masyarakat, tidak kira di mana, dapat merasai nikmat pembangunan dan peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik”, ujarnya.






Dalam program sama, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud turut meluangkan masa melawat Ladang Nanas Koperasi PEKAP Kuala Lumpur Berhad (KOPEKAP) di situ.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KUSKOP, Tuan Mohd Asri Mohamed, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Tuan Azizul Alias, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM (Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif SKM), Tuan Haji Azam Sulaiman, Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Fadilah Salim, Pengarah SKM Pahang, Tuan Ibrahim Hussin, Pengetua SMK Datuk Bahaman, Tuan Mohd Fauzi Hashim, Pengerusi KOPEKAP, Dato’ Ir. Haji Noor Azmi Jaafar, Ketua Polis Balai Lanchang, SM Hamzi Mohamad, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP), Datuk Azman Shah Abdullah dan Ketua Kampung Tris/Jergoh/Paya Laman, Encik Mohd Hashim Mahusin.








