Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 di Dewan JPS, Kangar pada 3 Mei 2026.
Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang Timur, Haji Mohd Zahidi Haji Husain, Pengerusi JKAN Pahang Barat, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad serta Setiausaha JKAN Perlis, Datuk Haji Aziz Ariffin.
Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam menikmati jamuan minum petang sambil meninjau suasana NAT serta beramah mesra dengan tetamu yang hadir.
NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei 2026 dan menghimpunkan pelbagai penggiat koperasi serta usahawan, termasuk penyertaan pempamer antarabangsa.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 yang akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis pada sebelah malam hari yang sama.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, selain kehadiran kepimpinan negeri serta pemimpin gerakan koperasi.








