Program Pelantikan Koperasi sebagai Rakan Koperasi MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. melabuhkan tirainya dengan penuh jaya dalam satu majlis yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor pada 4 Jun 2026.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang menzahirkan penghargaan kepada 12 koperasi yang telah menjalin kerjasama strategik bersama MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelantikan koperasi sebagai rakan strategik merupakan langkah penting bagi memperkasakan peranan gerakan koperasi dalam sektor hartanah dan pembangunan perumahan negara.
Menurut beliau, MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan matlamat untuk menyediakan pembangunan dan pembiayaan perumahan yang lebih sistematik, inklusif serta mampu milik bagi membantu masyarakat memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.
“Gerakan koperasi tidak boleh hanya menjadi pengguna atau pemerhati kepada perkembangan industri hartanah. Sebaliknya, koperasi perlu tampil sebagai pemain utama yang membantu menyediakan penyelesaian perumahan kepada anggota dan masyarakat.
Kita mempunyai jaringan, pasaran dan kepercayaan komuniti yang besar untuk diterjemahkan kepada peluang perniagaan dalam sektor hartanah dan perumahan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan positif sektor hartanah negara membuka ruang yang luas kepada koperasi untuk terlibat secara lebih aktif. Berdasarkan Laporan Pasaran Harta 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), nilai transaksi hartanah negara telah mencecah RM241.87 bilion, sekali gus mencatatkan prestasi tertinggi dalam tempoh sedekad.
Selain itu, sasaran kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina satu juta unit rumah mampu milik menjelang tahun 2035 turut mewujudkan peluang baharu kepada koperasi dalam rantaian industri perumahan negara.
Menurut beliau lagi, koperasi perlu berani merebut peluang dengan memainkan pelbagai peranan termasuk sebagai agen pemasaran projek perumahan, agen pengumpulan pembeli, penyedia perkhidmatan pembiayaan, pemilik tanah strategik dan juga pemaju hartanah koperasi pada masa hadapan.
“Inilah masanya untuk koperasi bergerak daripada sekadar pengguna hartanah kepada penyedia hartanah dan pemangkin pembangunan komuniti.
Jika gerakan koperasi berjaya menguasai sebahagian daripada pertumbuhan sektor ini, ia bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan koperasi malah membantu kerajaan menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat,” tambah beliau.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. dan 12 buah koperasi yang mewakili komuniti generasi baharu FELDA daripada rangkaian 317 rancangan FELDA di seluruh negara akan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Beliau berkata, kekuatan jaringan komuniti FELDA yang luas mampu menjadi platform strategik dalam memperluaskan pemilikan rumah mampu milik kepada warga FELDA.
Seiring dengan aspirasi tersebut, ANGKASA melalui MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. menyasarkan pembangunan sehingga 1,000 unit rumah setahun bagi memenuhi keperluan perumahan anggota koperasi dan masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan komuniti yang mampan dan berimpak tinggi.
MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. juga mensasarkan untuk memperluas pembangunan projek perumahan ke seluruh negara dengan nilai pembangunan yang lebih tinggi serta memperkukuh jaringan kerjasama bersama koperasi sebagai rakan strategik utama syarikat demi kesejahteraan ekonomi masyarakat secara mampan.
Hadir sama ialah Pengerusi MyANGKASA Bina merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd. Shukree Che Isa, Pengarah MyANGKASA Bina merangkap Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Bina, Datuk Dr. Haji Azih Haji Muda, Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Bina merangkap Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty, Pengerusi JKAN Pahang Timur, Haji Mohd Zahidi Haji Husain, Pengerusi JKAN Pahang Barat, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad, Pengerusi JKAN Terengganu, Tuan Haji Mohamed Yusoff, Pengerusi JKAN Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob, barisan Pengurusan MyANGKASA Bina yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Azrul Hisyam Munap, Ketua Pegawai Operasi MyANGKASA Bina, Encik Mohamad Hafidz Abu Bakar serta Pengurus Besar Sektor Myvilla, Muhamad Rizal Hamzah.


































