Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 menerima sokongan padu daripada 113 rakan strategik yang terdiri daripada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan dan pemain industri dalam menjayakan penganjuran acara terbesar pengamal media negara itu.
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, sokongan berterusan yang diberikan membuktikan keyakinan pelbagai pihak terhadap HAWANA sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antara media, industri dan masyarakat selain menghargai peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 yang berlangsung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 4 Jun 2026.
Menurut beliau, Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti,” HAWANA 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta termasuk pengamal media dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran semasa industri media serta memperkukuh profesionalisme kewartawanan.
YB Teo berkata, dunia ketika ini berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik, perubahan iklim dan perkembangan teknologi yang pesat, sekali gus menjadikan peranan media semakin penting dalam membantu masyarakat memahami konteks sesuatu isu secara menyeluruh.
Katanya, media perlu terus memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang tepat dan bertanggungjawab terutama dalam era digital yang menyaksikan penularan berita palsu semakin membimbangkan.
“Media perlu menjadi penjernih informasi dan bukan pembuat kebisingan. Di tengah-tengah lambakan maklumat digital, media arus perdana mesti berfungsi sebagai ejen yang menapis dan menjernihkan kekeruhan maklumat, bukannya menambah ‘kebisingan’ atau kekeliruan dalam masyarakat.” katanya.
Beliau memaklumkan sehingga 6 Mei lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti lebih 600 hantaran palsu berkaitan krisis bekalan global termasuk isu harga bahan api dan situasi di Selat Hormuz. Daripada jumlah itu, lima kes telah dibawa ke mahkamah manakala lapan individu dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM200,000.
















Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Media Malaysia (MMM) kini melaksanakan Mekanisme Aduan Fasa 2 yang bermula pada 8 April lalu bagi memastikan pengurusan aduan berkaitan media dilaksanakan secara lebih tersusun, telus dan profesional. Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 13 aduan telah diterima dengan 11 daripadanya berjaya diselesaikan.
Menyentuh mengenai pengisian HAWANA 2026, beliau berkata pelbagai program telah dan akan dilaksanakan termasuk Forum Media HAWANA, Pesta Pantun HAWANA-DBP, Fun Walk HAWANA serta program Mai Riuh @ HAWANA yang diperkenalkan buat pertama kali tahun ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan pada 2023 terus memberi manfaat kepada pengamal media yang berdepan kesulitan hidup, masalah kesihatan atau cabaran kewangan. Sehingga 31 Mei 2026, seramai 768 penerima telah menerima bantuan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM2.24 juta.
HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi akan berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, forum, program komuniti dan majlis penghargaan kepada pengamal media negara.
Dalam majlis sama, ANGKASA turut menerima plak penghargaan yang disampaikan YB Teo kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sebagai menghargai sumbangan RM10,000 yang diberikan bagi menyokong penganjuran HAWANA 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah, Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang BERNAMA merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Arul Rajoo Durar serta Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) BERNAMA merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026, Mohd Shukri Ishak.



