Tuesday, October 14, 2025
HomeAGENSISKM, ANGKASA Saling Melengkapi Perkukuh Gerakan Koperasi Negara

SKM, ANGKASA Saling Melengkapi Perkukuh Gerakan Koperasi Negara

Penekanan terhadap pelaksanaan peranan dan fungsi masing-masing serta kesepakatan untuk saling melengkapi dalam memajukan gerakan koperasi negara menjadi fokus perbincangan antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan ANGKASA pada 13 Oktober 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SKM, YBrs. Puan Noor Afifah Abdul Razak berkata, SKM dan ANGKASA perlu memainkan peranan secara bersepadu berpandukan Aspirasi Koperasi Malaysia bagi mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan sumber dapat dioptimumkan.

“Saya percaya kita semua saling melengkapi dalam usaha membantu gerakan koperasi Malaysia menjadi lebih cemerlang,” katanya ketika menerima kunjungan hormat kepimpinan ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Menara SKM, Kuala Lumpur.

Kunjungan itu merupakan yang pertama sejak YBrs. Puan Noor Afifah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM pada 14 Julai 2025, sekali gus menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, beliau memaklumkan bahawa SKM telah mengenal pasti beberapa program yang akan dilaksanakan dengan penglibatan langsung ANGKASA sebagai pelaksana utama bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan hasrat kerajaan.

Beliau turut mencadangkan supaya peranan ANGKASA diperluas dengan diberi tanggungjawab mengaudit koperasi bagi membolehkan badan puncak itu membantu koperasi memastikan rekod kewangan yang lebih teratur dan telus.

Menurutnya, cadangan tersebut selaras dengan kepakaran ANGKASA yang selama ini membantu koperasi dalam penyediaan akaun dan langkah itu diyakini dapat memperkukuh tadbir urus kewangan gerakan koperasi secara keseluruhan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, pelantikan YBrs. Puan Noor Afifah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepimpinan wanita dalam gerakan koperasi negara.

“ANGKASA menaruh harapan tinggi agar kerjasama strategik dengan SKM dapat diperkukuh, sekali gus memperkasa peranan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara,” katanya.

Beliau berkata, meskipun sumbangan gerakan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah berbanding beberapa negara lain, Malaysia berada di hadapan dari segi dasar, polisi dan undang-undang yang menyokong pembangunan sektor koperasi.

“Dengan kerjasama yang baik antara SKM dengan ANGKASA, kita bukan sahaja boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, malah mampu melonjakkan lagi sumbangan koperasi kepada ekonomi negara melalui tadbir urus yang lebih efisien dan berpaksikan kepentingan anggota,” tambahnya.

Pengurusan tertinggi SKM yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Tuan Haji Azam Sulaiman, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Puan Siti Azlin Ahmad Dauta dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Tuan Haji Efendee O P Andu.

Kepimpinan ANGKASA yang hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Kewangan), Encik Ezleezan Othman, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ANGKASA, Encik Mohd Ismail Ibrahim, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine